Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ibu Tunggal Anak Lima Antara 24 Individu Ditahan Positif Dadah

ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) — Ibu tunggal anak lima antara 24 individu yang ditahan positif dadah dalam operasi yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda di sekitar daerah itu, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, wanita berumur 30 tahun itu ditahan kerana positif dadah jenis syabu dan morfin.

“Wanita yang mempunyai lima anak berusia satu hingga 13 tahun itu ditahan di rumah teman lelakinya yang juga dipercayai penagih dadah, namun lelaki itu tiada di rumah semasa serbuan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arnida berkata dalam serbuan yang bermula 9 pagi hingga 10 malam di 12 kawasan panas sekitar Kuala Muda itu, pihaknya turut menahan 23 lelaki berumur antara 22 hingga 58 tahun yang positif dadah pelbagai jenis.

“Hasil saringan ujian urin, 24 individu didapati positif dadah jenis syabu, ganja dan morfin. Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right