Gambar: Bernama

Liga-M Kembali Rancak, Sajikan 84 Perlawanan

KUALA LUMPUR, 26 Ogos– Selepas ‘sepi’ hampir lima bulan tanpa perlawanan susulan penularan pandemik COVID-19, pertembungan dua gergasi bola sepak tempatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang bakal merancakkan semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bersambung 28 Ogos ini.

Kembali dengan format baharu secara separuh liga, aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu adalah satu daripada keseluruhan 84 perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang akan berlangsung dalam tempoh 44 hari sebelum saingan liga musim ini berakhir pada 10 Okt.

Berbaki tujuh perlawanan perlu diharungi setiap pasukan, JDT berada di landasan tepat untuk terus melakar sejarah tersendiri, memenangi kejuaraan Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut selepas berjaya mempertahankan gelaran itu selama enam musim sejak 2014.

Skuad Harimau Selatan itu kini gah di takhta Liga Super dengan 10 mata, diekori rapat juara Piala Malaysia 2018, Perak, dengan perbezaan dua mata sementara Pahang mengumpul enam mata di kedudukan ketiga.

Defisit dua mata yang dimiliki pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Melaka yang hanya mengumpul tiga mata, merupakan pasukan yang menghuni dua tempat tercorot Liga Super sekali gus berdepan penyingkiran di akhir musim.

Dalam kancah Liga Premier, tumpuan utama terarah kepada persaingan tiga penjuru dalam merebut dua slot automatik ke saingan Liga Super 2021, antara Kelantan United, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang berada dalam kelompok empat pasukan teratas ketika ini.

Terengganu FC II (TFC II) yang berstatus pasukan ‘feeder’ mendahului kedudukan Liga Premier dengan kutipan 12 mata selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat aksi pertama, sementara Kelantan United kedua dengan sembilan mata diikuti Pulau Pinang (lapan mata) dan Kuala Lumpur (lapan mata).

Kuching FA dan Perak 2 merupakan pasukan yang berada di kedudukan dua tercorot Liga Premier.

Sebaik berakhir saingan Liga Super dan Liga Premier, pasukan yang layak beraksi perlu menyediakan pemain menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijadual bermula 16 Okt.

Piala Malaysia yang merupakan antara kejohanan tertua di rantau Asia turut dirombak dengan ketiadaan saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Kesemua aksi Liga-M dijalankan tanpa penonton dan venue perlawanan didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selain menjalani proses nyahkuman sebagai langkah pencegahan COVID-19.

Saingan Piala FA yang menawarkan slot ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 dan Piala Cabaran dibatalkan kesan COVID-19.

Bagaimanapun, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pengelola Liga-M menetapkan juara Liga Super kekal meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara (ACL) 2021 manakala juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Liga-M yang akan bersambung 28 Ogos ini turut melibatkan dua aksi tertunda yang menyaksikan Petaling Jaya City FC tewas 0-2 kepada Terengganu FC dalam saingan Liga Super, sementara Kelantan membelasah UKM FC 5-1 dalam aksi Liga Premier yang berlangsung pada 22 Ogos lepas.

Dalam pada itu, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia turut dirasai kesemua pasukan bertanding dengan impak terbesar adalah daripada segi kewangan sebelum saingan liga itu bersambung kembali.

Sebahagian besar pasukan mengambil pendekatan memotong gaji barisan pemain dan pegawai, namun terdapat segelintir pasukan menghadapi krisis kewangan yang teruk sehingga berdepan kesulitan dalam melunaskan gaji.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen

Dari Wiser.my