Siakap Keli

26 Kedai Runcit Diserbu, Polis Rampas 2,593 Kotak & 629 Karton Rokok Seludup Bernilai Hampir RM10 Juta

Pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM9.3 juta berjaya dirampas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Kejayaan tersebut merupakan hasil serbuan daripada 26 kedai runcit di daerah berkenaan yang giat dilakukan sejak awal bulan ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, menerusi serbuan tersebut pihak polis berjaya merampas 2,593 kotak rokok dan 692 karton rokok tanpa cukai.

“Dalam serbuan itu seramai 30 lelaki dan seorang wanita warganegara asing selain seorang lelaki tempatan ditahan. Kesemua suspek berumur lingkungan dari 20 sehingga 60 tahun.

“Kita turut merampas sebuah kereta Perodua MyVi dan sebuah Proton Wira yang dipercayai digunakan suspek untuk menyeludup dan mengedarkan rokok tanpa cukai tersebut,” katanya seperti memetik laporan Sinar Harian.

Menurut beliau, semua rokok seludup tersebut dijual di antara RM4.50 hingga RM9.50 sekotak di mana modus operandi kedai runcit itu ialah berselindung di sebalik perniagaan tersebut yang menjual barangan keperluan harian.

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda 20 kali nilai rampasan dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.