Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Budak 7 Tahun Didakwa Masukkan Pensil 7 Inci Dalam Kerongkong, Dipercayai Tiru Aksi Telan Pedang Dalam TV

Sebatang pensil berukuran sepanjang 7 inci berjaya dikeluarkan daripada perut seorang budak lelaki di China selepas dia dilaporkan menelannya ketika sedang menyiapkan kerja sekolah.

Kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu telah dikejarkan ke hospital di wilayah Henan, tengah China selepas dia memberitahu kepada ibu dan bapanya mengenai perbuatannya itu.

Kanak-kanak itu mendakwa bahawa dia cuba untuk meniru aksi pelakon menelan pedang yang pernah dilihatnya dalam satu rancangan Kung Fu di televisyen.

Kejadian itu lebih diketahui apabila ibu bapa budak itu membawanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kanak-kanak wilayah Henan di kota Zhengzhou pada hari Jumaat.

Pelajar sekolah itu sedang membuat kerja sekolahnya pada waktu pagi. Kemudiannya dia berasa bosan dan terganggu, kata pihak hospital dalam satu laporan.

Kanak-kanak itu secara tiba-tiba teringat akan aksi pelakon memasukkan pedang ke dalam tekak mereka di TV dan telah memutuskan untuk meniru aksi itu dengan menggunakan pensil sepanjang 7 inci yang dipegangnya.

Selepas memasukkan keseluruhan pensil itu ke dalam kerongkongnya, kanak-kanak terbabit memaklumkan kepada ibunya berkenaan tindakannya itu.

Ibu bapanya yang terkejut dengan pengakuan anaknya itu kemudiannya segera bergegas membawa anak mereka ke hospital Henan.

Ketika imbasan X-ray dilakukan, doktor telah menemui satu objek tajam sedang tersangkut di dalam perut pesakit itu.

“Dia sangat bernasib baik kerana sisi pensil yang tajam itu menghadap ke atas. Ianya mungkin boleh menembusi perut serta ususnya sekiranya pensil terbabit menghadap ke bawah,” ujar doktor kepada wartawan.

Kanak-kanak itu dikatakan telah pulih selepas pakar bedah melakukan pembedahan bagi mengeluarkan pensil terbabit.

Pensil tajam yang baru itu berukuran sepanjang 18 sentimeter (7.09 inci).

“Ianya adalah objek asing terpanjang pernah saya keluarkan sejak saya bekerja sebagai doktor lebih dari sepuluh tahun yang lalu,” tambah doktor itu.

Doktor tersebut turut menyeru kepada ibu bapa supaya mendidik anak mereka mengenai bahaya menelan mainan atau apa-apa alatan lain.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa