Siakap Keli
Gambar: Bernama

Taufan Bavi, China Keluar Amaran Tahap Merah

BEIJING, 27 Ogos — China mengeluarkan amaran tahap merah pada 6 pagi Khamis susulan Taufan Bavi yang diramal membawa angin kencang serta hujan ribut di timur laut negara ini, lapor agensi berita Xinhua.

Taufan kelapan tahun ini, diramal bergerak ke utara dengan kelajuan angin 40 hingga 50 kilometer sebelum membadai kawasan pesisir antara bandar Donggang di wilayah Liaoning dan utara Pyongan di Korea Utara pada Khamis pagi, kata Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC).

Ia dilaporkan melanda kawasan perairan kira-kira 195 kilometer di selatan sempadan China dan Korea Utara pada 5 pagi, dengan kekuatan angin maksimum 136.8 kilometer sejam.

Dari Khamis pagi hingga Jumaat pagi, taufan dijangka melanda  Selat Bohai, beberapa kawasan di Laut Kuning, wilayah provinsi Heilongjiang, Jilin dan Liaoning serta daerah pesisir di luar Semenanjung Shandong, menurut NMC.

Beberapa wilayah di Heilongjiang, Jilin, Liaoning dan Inner Mongolia pula akan mengalami hujan lebat, dengan beberapa kawasan menerima curahan hujan sehingga 150 milimeter.

China mempunyai sistem amaran cuaca empat peringkat, merah mewakili situasi terburuk, diikuti oren, kuning dan biru.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right