Siakap Keli
bahaya bantal busuk
Kredit: Google

Awas, Mungkin Selesa Tapi Ada Bahaya Sendiri, Ini Sisi Buruk Bantal Busuk Anda Perlu Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bantal busuk bagaikan teman baik apabila tibanya waktu tidur. Mempunyai nilai sentimental sendiri, seseorang mungkin mampu menyimpan bantal busuk kesayangannya selama bertahun-tahun sehingga dewasa.

Kedengaran lucu, namun sebenarnya tabiat ini mempunyai bahaya sendiri. Daripada alahan alergi hinggalah jangkitan virus dan bakteria, bantal busuk sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan anda.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang ‘sisi buruk’ bantal busuk, mari baca perkongsian Hello Doktor di bawah.

Apa definisi bantal busuk?

Sebelum itu, wajarlah untuk kita semua belajar tentang definisi sebenar objek ini terlebih dahulu.

Untuk pengetahuan anda, bantal busuk yang juga dikenali sebagai bantal peluk atau tidur adalah sejenis kusyen yang digunakan pada waktu tidur.

Bantal adalah salah satu dari komponen yang sangat kita semua perlukan untuk tidur selain tilam, cadar dan selimut untuk keselesaan yang maksimum.

Tanpa 4 objek utama ini, maka kualiti dan kuantiti tidur anda mungkin akan terjejas.

Menurut kajian yang terbaharu, purata masa manusia menghabiskan waktu di atas katil adalah sekitar 36 tahun seumur hidup.

Angka yang mengejutkan ini menunjukkan bahawa aspek keselesaan di kamar tidur adalah sangat penting sepanjang hayat kita.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Jadi, adalah tidak salah untuk anda memiliki bantal busuk ini namun perlu jaga-jaga! Kenapa?

Ini bahaya bantal busuk!
Tidak, kami bukan kata yang anda tidak boleh berpelukan dengan bantal busuk ketika tidur namun ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan.

Buat anda yang mungkin belum tahu, bantal kesayangan anda itu berkemungkinan mempunyai:

  • Debu
  • Habuk
  • Hama
  • Kutu
  • Kulat
  • Kuman
  • Bakteria
  • Virus
  • Detritus

Terkejut? Apa kata kalian baca kesan mikroorganisma tersebut pula terhadap kesihatan kita:

1. Mencetuskan alahan

Hama adalah pepijat kecil yang wujud di kawasan berdebu dan berhabuk termasuklah kelengkapan tidur yang tidak dicuci dengan baik serta kerap.

Kesannya, ia akan mencetuskan alahan yang mungkin mengakibatkan simptom seperti mata merah dan gatal, hidung berair, asma, lelah serta gangguan pernafasan.

Kredit: Google

2. Menyebabkan gangguan tidur

Kulat yang banyak wujud pada bantal busuk mungkin boleh menyebabkan gangguan tidur khususnya apnea tidur obstruktif – pernafasan terhenti ketika sedang tidur.

3. Menyebabkan penyakit akut

Kulat bernama Aspergillus fumigatus akan menyebabkan kondisi Aspergillosis yang boleh mengundang maut jika terkena pada penderita leukemia dan HIV/AIDS.

4. Mengakibatkan jangkitan

Bakteria bernama Staphylococcus aureus akan menyebabkan jangkitan Staph yang mungkin agak jarang berlaku namun boleh mengakibatkan kematian.

Selain itu, bakteria Bacteroides pula boleh menyebabkan jangkitan radang paru-paru dan apendiks.

Tidak lupa juga bakteria bernama fusobacteriaceae dan neisseriaceae yang akan menjejaskan imuniti kepada penyakit jangkitan kelamin khususnya gonorea.

5. Menimbulkan isu kulit

Bantal busuk yang tidak dicuci dengan baik serta kerap akan mengakibatkan debu dan habuk tertinggal di situ.

Akibatnya, ia akan menjejaskan atau merengsakan kulit badan lalu timbul masalah kulit seperti jerawat dan jeragat.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, dari manakah datangnya debu dan habuk ini bukan? Jawapannya adalah pada badan anda sendiri melalui aktiviti seharian.

Sekiranya anda kerap keluar rumah, partikel debu dan habuk memang mudah melekat pada badan lebih-lebih lagi dengan pemakaian losyen atau kosmetik.

Peluh akan buat bantal busuk lebih bahaya?

Ya, peluh manusia mungkin boleh mengakibatkan penyakit dan jangkitan seperti Staph dan Strep – merebak melalui liang pori kulit badan kita.

Jika tidur bersama pasangan atau individu lain, risiko terjangkiti adalah lebih tinggi. Jadi, sila elakkan berbaring di atas katil ketika berpeluh.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Risiko kematian lebih tinggi akibat SIDS!

Akhir sekali, kelengkapan tidur ini berisiko mengakibatkan maut yang mengejut khususnya buat golongan kanak-kanak.

Ia adalah disebabkan oleh kondisi bernama Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) yang boleh berlaku akibat bahagian muka tertindih atau terhempap dengan bantal.

Ini sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu untuk bernafas apatah lagi untuk meminta tolong kerana mereka mungkin sedang tidur atau masih kecil untuk bersuara.

Ibu bapa, sila lebih berwaspada dengan bahaya bantal busuk ini ya!

Tidak salah untuk memiliki namun hati-hati

Ya, memang terdapat bahaya bantal busuk terhadap kesihatan kita namun kami bukan kata yang kalian tidak boleh memilikinya.

Asalkan kalian tekun menjaga dan mencuci kelengkapan tidur ini dengan tertib, mungkin tidak akan timbul sebarang masalah.

Akhir kata, adalah tidak salah untuk memiliki bantal busuk namun sila lebih hati-hati ketika menggunakannya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.