Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

KPDNHEP Runding Turun Harga Pelitup Muka – Muhyiddin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal bagi menurunkan harga pelitup muka, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pelitup muka adalah barangan keperluan yang digunakan hampir setiap masa selaras dengan pembudayaan norma baharu.

“InsyaAllah, jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan ini akan meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan di televisyen tempatan malam ini.

Sebelum ini KPDNHEP menetapkan harga siling runcit RM1 bagi sekeping pelitup muka jenis tiga lapis.

Muhyiddin berkata walaupun PKPP dilanjutkan sehingga 31 Dis, beliau yakin kehidupan rakyat tidak terjejas kerana aktiviti harian boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Apa yang penting rakyat perlu terus membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan, sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelak berada di tempat sesak, kata beliau.

“Saya percaya semua ini telah pun saudara-saudari lakukan selama ini sehingga kita berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat kita,” katanya.

Selaras pelanjutan PKPP juga, perdana menteri berkata Tabung COVID-19 yang diurus Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dilanjutkan sehingga 31 Dis ini.

Pihak yang ingin menyumbang kepada tabung berkenaan, katanya, boleh berbuat demikian dan sumbangan akan digunakan untuk membantu mangsa COVID-19 selain menyediakan keperluan membendung wabak itu.

Berbekalkan semangat Hari Kebangsaan Ke-63 bertemakan Malaysia Prihatin, Muhyiddin menyeru rakyat supaya sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab membendung penularan COVID-19 kerana setiap lapisan masyarakat adalah barisan hadapan memerangi virus itu.

“Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah wabak COVID-19, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan syabas dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat kerana wabak itu dapat dikawal dengan semua pihak mengambil  tanggungjawab serius termasuk mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan membudayakan norma baharu kehidupan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.