Siakap Keli

Padah Mengamuk Tunjuk Pedang Samurai Sebab Kereta Kena ‘Clamp’, Seorang Lelaki Ditahan

PETALING JAYA, 28 Ogos – Seorang lelaki tempatan ditahan polis berikutan ugutan senjata dan perbuatan khianat di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, kelmarin.

Ketua polis daerah, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal dalam satu kenyataan berkata, mangsa pernah diugut dengan pedang samurai sewaktu hendak membuka pengunci tayar di kereta suspek pada 20 Ogos lalu.

“Mangsa dalam kejadian ini adakah seorang pengawal keselamatan yang bekerja di apartment tersebut.

“Kejadian berlaku apabila mangsa telah mengunci (clamp) tayar kereta suspek kerana tidak membayar kos penyelenggaraan bulanan selama tiga bulan,” kata kenyataan tersebut, semalam.

Dalam pada itu, suspek sekali lagi bertindak ganas apabila alat pengunci tayar tersebut dirosakkan serta kuncinya turut dipecahkan pada 26 Ogos lalu (kelmarin).

Sehubungan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya digerakkan ke kediaman suspek di pangsapuri berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, pihak polis telah menjumpai sebatang tukul kuku kambing yang dipercayai digunakan untuk merosakkan alat pengunci tayar,” tambah kenyataan itu lagi.

Justeru, suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.