SANDAKAN, 29 Ogos (Bernama) — Seorang wanita pekerja landskap maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang menyelenggara tanaman bunga hiasan di Jalan Leila, berhampiran Perpustakaan Daerah, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata dalam kemalangan pada kira-kira 8 pagi itu, mangsa, Hairana Ahirin, 30, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara rakan mangsa Aidah Amirul, 30 yang turut berada di lokasi kejadian cedera parah.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu lelaki berumur 41 tahun dari arah pusat bandar menuju ke Batu Sapi itu telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Azhar berkata Aidah kini dirawat di Hospital Duchess of Kent di sini.
Pemandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA