Siakap Keli
pkpd amanjaya
Kredit: Bernama

Beri Alasan Nak Ke Rumah Datuk, Dua Beradik Pakai Gelang Pink Ditahan Dipercayai Langgar PKPD Amanjaya

ALOR SETAR, 31 Ogos (Bernama) — Polis menahan dua beradik lelaki dipercayai melanggar Perintah Kawalan dan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di Amanjaya, Sungai Petani semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata kedua-duanya berumur 17 dan 19 tahun, ditahan pada kira-kira 10.20 malam berhampiran kawasan Sekolah Kebangsaan Ambangan Heights oleh anggota polis yang sedang membuat pemantauan di Zon Kenanga.

“Pemeriksaan awal mendapati mereka memakai gelang berwarna merah jambu yang telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan. Mereka memberitahu hendak ke rumah datuk namun alasan tersebut tidak munasabah untuk membolehkan mereka berada di luar kawasan rumah.

“Kedua-dua mereka yang telah diambil keterangan diberikan jaminan polis dan akan dituduh di mahkamah selepas ini. Kes akan disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD secara bersasar di Amanjaya yang melibatkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Melur dan Mawar bermula Jumaat lepas sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Adzli juga berkata seramai 59 individu masing-masing dikompaun RM1,000 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah kedai makan di Bukit Selambau Estate dekat Sungai Petani tengah malam tadi.

Beliau berkata kesemua individu yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan pada kira-kira 12.30 tengah malam kerana didapati tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berkumpul di premis itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa orang sedang berkumpul sambil leka mendengar muzik serta tidak menjaga penjarakan fizikal dan penjaga premis berusia 37 tahun gagal mengemukakan sebarang lesen hiburan yang sah,” katanya.

Adzli berkata kedai makan itu menyediakan kemudahan untuk pelanggan berkaraoke dengan bayaran RM2 bagi setiap lagu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.