Siakap Keli
Kredit: Google

Jangan Lupa Sendawakan Bayi Lepas Menyusu, Ini Caranya Ibu Bapa Perlu Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Apabila bergelar sahaja ibu bapa, pelbagai ilmu baru perlu ditimba terutama mengenai penjagaan bayi yang baru dilahirkan.

Hal ini termasuklah tatacara menyusukan bayi bagi memastikan si kecil berada dalam keadaan yang selesa semasa dan selepas penyusuan. Salah satu perkara yang perlu dilakukan selepas sesi penyusuan ialah membuatkan bayi sendawa bagi mengelakkan bayi termuntah.

Selain itu, menurut Hello Doktor, tindakan ini juga berfungsi untuk mengelakkan perut bayi kembung di samping memberi tidur yang berkualiti pada bayi. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang cara membuatkan bayi sendawa, teruskan pembacaan artikel di bawah.

Kenapa perlu buat bayi sendawa?

1. Perut kembung

Proses sendawa pada bayi penting bagi menghindarkan bayi anda daripada mengalami masalah perut kembung. Tujuan utamanya adalah untuk mengeluarkan udara berlebihan yang turut masuk ke dalam perut bayi ketika menyusu atau menangis.

2. Lebih ceria dan aktif

Bayangkan jika kita sebagai individu dewasa, berdepan dengan keadaan perut kembung atau berangin? Sudah tentu ia boleh menyebabkan anda menjadi tidak selesa, bukan?

Begitu juga keadaannya dengan bayi anda. Keadaan seperti itu pastinya menimbulkan ketidakselesaan dan membuatkan mereka meragam.

Menyendawakan si manja, dipercayai dapat membuatkan bayi anda menjadi lebih selesa, ceria dan aktif.

3. Tidur nyenyak

Dalam keadaan perut tidak selesa, semestinya ia membuatkan bayi anda tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Situasi ini pastinya akan berbeza jika udara mahupun angin yang berlebihan di dalam perut bayi dapat dikeluarkan, sekali gus menjadikan bayi anda lebih selesa.

Sudah tentu keadaan ini akan dapat membantu mereka untuk tidur lebih nyenyak.

Cara sendawakan bayi yang berkesan

1. Posisi bersandar pada bahu

Perkara pertama sekali adalah meletakkan sebarang kain alas bersih pada bahu anda. Ini perlu dilakukan kerana bayi anda mungkin akan termuntah susu.

Cuba untuk mendukung bayi anda menggunakan sebelah tangan dan letakkan kepala bayi seperti bersandar pada bahu anda.

Dengan menggunakan tapak tangan sebelah yang lain, tepuk belakang badannya secara perlahan-lahan sehingga bayi anda sendawa.

Cara sendawakan bayi ini boleh dilakukan sama ada secara berdiri mahupun duduk di kerusi. Ia adalah mengikut keselesaan anda.

2. Posisi duduk

Cara sendawakan bayi yang seterusnya ini adalah dengan memberikan bayi anda duduk di atas riba anda, iaitu sebelah paha anda, sama ada kiri ataupun kanan, mengikut keselesaan anda.

Bongkokkan sedikit badan bayi anda dan tepuk lembut atau usap bahagian belakang badannya. Pastikan anda menahan bahagian dadanya dengan tangan anda.

Dipercayai cara sendawakan bayi ini adalah paling mudah membuatkan bayi sendawa.

3. Posisi meniarap

Baringkan bayi anda pada posisi meniarap di atas perutnya dengan kedudukan melintang di atas paha anda.

Untuk melakukan cara sendawakan bayi melalui kaedah posisi meniarap ini anda perlu memegang bahagian dada bayi anda dengan sebelah tangan anda dan pastikan kedudukan kepala bayi sedikit tinggi daripada badannya.

Dengan menggunakan tangan yang sebelah lagi, tepuk atau urut secara perlahan-lahan bahagian belakang bayi dengan cara usapan naik dan turun.

4. Posisi dukung

Ini merupakan antara cara sendawakan bayi yang terakhir yang boleh anda cuba untuk membuat bayi anda sendawa.

Caranya adalah dengan mendukung seperti biasa dan rapatkan bayi anda ke dada. Sambil mendukungnya, goyang-goyangkan badan anda ke kiri dan ke kanan untuk membuatkan bayi anda sendawa sendiri.

Dalam masa yang sama anda boleh mengusap bahagian belakang bayi anda sambil berjalan-jalan di sekitar rumah anda.

5. Senaman

Sekiranya tip cara sendawakan bayi di atas masih tidak berjaya untuk membuat bayi anda sendawa, anda mungkin boleh melakukan sedikit ‘senaman’ buat bayi anda.

Caranya adalah dengan memegang bahagian betis bayi anda, dan tolakan lututnya ke dada mereka.

Kaedah ini dikatakan antara cara sendawakan bayi yang terbaik untuk membantu mengeluarkan angin dari perut mereka. Selain itu, urutan yang lembut pada perut bayi anda pastinya dapat membantu.

Terus mencuba sehingga bayi sendawa!
Sekiranya bayi anda masih tidak sendawa walaupun pelbagai tip dan cara sendawa bayi telah anda cuba. Mungkin anda boleh mendapatkan bantuan pasangan anda untuk membantu menyendawakan bayi.

Ada yang mengatakan kaum ayah lebih handal membuat bayi sendawa, jadi tidak ada salahnya mencuba, bukan?

Lagipun tanggungjawab menjaga bayi anda tanggungjawab bersama. Apa yang penting, teruskan mencuba dan banyakkan bersabar!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.