Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Myanmar Dalang Utama Kes Culik Warga Asing Maut Ditembak

Nibong Tebal: Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dalang utama kes penculikan warga asing di Pulau Pinang ditembak mati ketika dia menyerang polis semasa serbuan di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit Paya Keladi, Kepala Batas dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata sepasukan polis menjalankan serbuan di pondok itu pada 1.30 pagi selepas menerima maklumat lelaki berumur 25 tahun yang memang dikehendaki kerana terlibat dalam kes penculikan seorang lelaki juga rakan senegaranya pada 14 Ogos lepas.

“Semasa serbuan dalam pondok usang itu, seorang anggota polis yang membuka pintu pondok tersebut telah diserang lelaki berkenaan dengan sebilah parang sehingga terjatuh dan suspek cuba menyerang empat pegawai serta anggota yang lain sebelum pihak kami melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

“Keadaan di dalam pondok itu gelap dan hanya terdapat nyalaan lilin sahaja, pemeriksaan lanjut polis menjumpai mayat lelaki tersebut yang telah terkena tembakan pada beberapa bahagian kepala serta muka manakala anggota polis berusia 30-an itu cedera lebam di bahu. Kami turut merampas parang yang digunakan untuk menyerang dalam kejadian itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis turut menemukan sekeping kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang hampir rosak serta maklumatnya tidak berapa jelas bersama lelaki itu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kad tersebut palsu.

Sahabudin berkata polis turut membuat pengecaman wajah lelaki itu dengan mangsa yang diculik serta rakan sejenayahnya dan mereka mengakui suspek adalah dalang utama kes terbabit serta beberapa lagi kes penculikan membabitkan warga asing terutama rakan senegaranya di Pulau Pinang.

Katanya, dalam kejadian penculikan itu, polis telah menahan lima lelaki tempatan dan enam warga Myanmar termasuk seorang wanita yang kesemua mereka berumur 18 hingga 45 tahun dalam beberapa siri serbuan di Pulau Pinang dan Kedah selepas pihaknya menyelamatkan mangsa culik iaitu penjaga kolam ikan di Jalan Changkat, di sini pada 19 Ogos.

“Kami menerima laporan polis berhubung kejadian culik itu daripada isteri mangsa yang juga warga Myanmar pada 17 Ogos selepas suspek menghubunginya meminta wang tebusan sebanyak RM15,000 sebelum dia (isteri mangsa) membayarnya menerusi akaun ejen moneywave di Myanmar sebelum disalurkan ke beberapa akaun warga tempatan di Pulau Pinang.

“Mangsa yang dikurung dan dipukul oleh suspek berjaya diselamatkan oleh polis dalam sebuah rumah kongsi di ladang getah di Sungai Lalang, Kedah sebelum kami melancarkan operasi mengesan dalang utama yang telah mati serta seorang lagi rakan sejenayahnya juga warga Myanmar,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang memburu lelaki Myanmar berumur 30-an yang identitinya telah dikenal pasti itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.