Siakap Keli
Gambar: Vietnam Insider

Vietnam Sambung Semula Penerbangan Ke Korea Selatan, Jepun Mulai 15 September

Hanoi: Lembaga Penerbangan Awam Vietnam (CAAV) merancang menyambung semula laluan udara dengan Korea Selatan dan Jepun pada 15 September, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pengarah CAAV Dinh Viet Thang berkata pada Isnin rundingan mengenai perkata itu sudahpun selesai.

Terdapat lapan penerbangan setiap minggu, masing-masing empat dengan Jepun dan Korea Selatan.

Semua penumpang akan dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari untuk mengelakkan penularan COVID-19, katanya.

Sehubungan itu pada Selasa Kementerian Pengangkutan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Kerja, Orang Kurang Upaya dan Hal Ehwal Sosial untuk membincangkan perkara itu secara terperinci, terutamanya mengenai langkah kuarantin.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mencadangkan laluan udara antarabangsa komersial dibuka semula pada 1 Ogos.

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa meramalkan industri penerbangan di dunia memerlukan tempoh sehingga 2024 untuk pulih. Syarikat penerbangan Vietnam diramal mengalami kerugian lebih US$4 bilion tahun ini.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.