Siakap Keli
Kredit: Bernama

Bergaduh Isu Parkir, 13 Ditahan Di Pulau Pangkor

LUMUT, 2 Sept (Bernama) — Polis menahan 13 lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di depan sebuah tokong di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu daripada orang awam kira-kira pukul 10.15 malam.

Katanya, tindakan pantas anggota Balai Polis Pulau Pangkor dan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung ke tempat kejadian telah berjaya menangkap kesemua lelaki berkenaan.

“Ada antara mereka mengalami luka-luka di badan. Tiada sebarang senjata dirampas di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nor Omar, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah kerana tidak puas hati dengan masalah tempat letak kereta di jeti Pulau Pangkor.

Katanya, kesemua tangkapan yang berumur antara 16 hingga 50 tahun direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan merusuh.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.