Siakap Keli

Bantu Tumpaskan Peragut, Polis Ucap Terima Kasih Kepada Penguatkuasa MBJB & Orang Awam

JOHOR BAHRU, 1 Sept – Pihak polis mengucapkan tahniah atas keberanian dan tindakan pantas anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan orang awam yang menumpaskan seorang peragut di sekitar Taman Mount Austin, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek tersebut telah diserahkan sejurus pihak polis tiba di lokasi kejadian.

“Pihak polis juga telah merampas motosikal jenis Honda Wave yang digunakan suspek semasa kejadian, beserta helmet warna hitam putih milik suspek.

“Beg tangan milik mangsa yang ditemui pada suspek juga turut dirampas dan dijadikan sebagai barang kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengimbas kembali, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang juga wanita Cina berumur 30 tahun yang sedang berjalan kaki melintas jalan telah didatangi suspek yang menaiki motosikal tersebut, sebelum beg tangannya ditarik suspek berkenaan.

Bagaimanapun, suspek telah terjatuh bersama motosikal yang ditunggangnya.

Difahamkan, mangsa yang dalam keadaan takut ketika itu telah menjerit meminta bantuan sebelum seorang anggota penguatkuasa MBJB serta orang awam di sekitar tempat kejadian tiba membantu menumpaskan suspek terbabit.

Ekoran itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaaan luka calar di lengan kirinya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat,” kata kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah boleh melaporkannya kepada balai terdekat atau menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323.

Gambar: Polis Daerah Johor Bahru Selatan
Gambar: Polis Daerah Johor Bahru Selatan

Gambar: Polis Daerah Johor Bahru Selatan

Sumber: Polis Daerah Johor Bahru Selatan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.