Siakap Keli

India Dilapor Haramkan Beberapa Aplikasi Termasuk PUBG, Dakwa Ancam Kedaulatan Negara

Kerajaan India mengharamkan 118 aplikasi telefon pintar, termasuklah permainan online terkenal iaitu PlayerUnknown’s Battleground atau PUBG.

Kementerian Teknologi Maklumat memaklumkan, pengharaman tersebut adalah berikutan kewaspadaan kerajaan terhadap keselamatan data selepas insiden ketegangan India-China di kawasan sempadan Ladakh memuncak akhir-akhir ini.

“Aplikasi telefon pintar yang diharamkan itu menjejaskan kedaulatan, integriti, pertahanan India dan ketenteraman awam,” menurut satu kenyataan yang dilaporkan Hindustan Times.

Selain PUBG dan PUBG Mobile Lite, antara aplikasi lain yang turut diharamkan kali ini ialah Baidu, Baidu Express Edition, Tencent Watchlist, FaceU, WeChat Reading dan Tencent Weiyun.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut menerima beberapa rungutan daripada banyak sumber, termasuklah aduan berkenaan penyalahgunaan beberapa aplikasi yang tersedia dalam platform Android dan iOS.

Jelasnya, aduan tersebut mendakwa data pengguna aplikasi berkenaan dicuri secara senyap dan dikirimkan ke pihak tidak sah yang mungkin berlokasi di luar India.

“Kompilasi data-data ini, ianya dilombong oleh elemen-elemen yang memusuhi keselamatan awam dan pertahanan India, yang akhirnya mempengaruhi kedaulatan dan integriti India.

“Ia adalah masalah yang sangat dalam dan perlu ada tindakan darurat dalam kadar segera,” kata kenyataan itu lagi.

Pusat Koordinasi Jenayah Siber India di bawah Kementerian Dalam Negeri juga turut mengemukakan cadangan untuk menghalang aplikasi-aplikasi kontroversi tersebut.

Mengimbas kembali, sebanyak 59 aplikasi yang kebanyakannya dari China telah pun diharamkan India, termasuklah TikTok, UC Browser dan WeChat pada awal Jun lalu.

Sumber: Hindustan Times

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.