Siakap Keli
tertinggal bayi dalam kereta
Kredit: Google

Jangan Terus Salahkan Ibu Bapa Tertinggal Bayi Dalam Kereta, ‘Forgotten Baby Syndrome’ Boleh Terjadi Kepada Sesiapa Saja- Kajian

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kematian kanak-kanak akibat tertinggal dalam kenderaan berbahang dan panas pastinya menjadi satu kenangan buruk bagi keluarga mangsa. Kes seperti ini tidak lagi asing di telinga kita berikutan ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini di negara kita.

Dipercayai berpunca daripada kecuaian, ramai yang menyalahkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terlibat. Namun tahukah anda, salah satu sebab kejadian seperti ini berlaku adalah akibat daripada sindrom terlupa bayi atau turut dikenali sebagai forgotten baby syndrome (FBS).

Malah, menurut Firma Undang-undang The Carlson, FBS boleh berlaku kepada sesiapa tidak kira bangsa, jantina, personaliti mahupun tahap pendidikan.

Ia juga bukanlah masalah pengabaian, sebaliknya berpunca daripada masalah memori, kata Profesor Psikologi di University of South Florida, David Diamond.

“Kebanyakan respon menganggap ibu bapa yang tidak baik atau lalai sahaja yang melupakan anak mereka di dalam kereta. Ini soal keadaan. Ia boleh berlaku kepada setiap orang,” katanya.

Firma Undang-undang The Carlson mendapati kebanyakan kejadian ini berlaku apabila ibu bapa melakukan tugasan yang di luar rutin mereka.

Ia juga dipercayai berpunca apabila ibu bapa lebih memfokuskan kepada tugasan yang perlu dilakukan seterusnya, membuatkan mereka terlupa pada situasi semasa termasuk kewujudan si anak di belakang.

Berdasarkan kenyataan firma itu, banyak kes berkait FBS melibatkan ibu bapa yang jarang menghantar anak-anak ke taska atau pengasuh. Mereka yang sering melalui jalan yang sama pergi dan pulang dari kerja setiap hari memandu mengikut laluan biasa tanpa berfikir.

Tindakan melakukan tugasan tanpa berfikir ini digelar motor memory, di mana ia membantu individu untuk memberi ruang kepada otak untuk memfokuskan kepada tugasan seterusnya.

Bayi atau kanak-kanak yang sedang tidur atau senyap di belakang mungkin mudah dilupakan oleh ibu bapa yang sedang memfokuskan tugasan lain, terutama jika tugas menghantar bayi kepada pengasuh adalah di luar kebiasaan mereka.

Malah, sebahagian kes kematian kanak-kanak dalam kenderaan panas dikatakan berlaku apabila kanak-kanak memasuki kenderaan tanpa pengetahuan ibu bapa.

Justeru, jika anda fikir anda tak mungkin terlupa, fikir semula.

Bagi mengelakkan kejadian ini, anda boleh meletakkan kunci kenderaan di tempat yang tidak boleh dicapai. Selain itu, tetapkan peringatan pada GPS anda setiap kali tiba di destinasi seperti dilakukan oleh saudara Aiman ini.

Selain itu, menurut sebahagian netizen, anda juga boleh menetapkan peringatan (reminder) pada telefon untuk memeriksa kenderaan dari masa ke masa, khususnya mengikut jadual pergerakan si anak. Biasakan juga melihat ke dalam kereta sebelum melangkah pergi supaya ia menjadi tabiat dan termasuk dalam motor memory anda.

Sumber: The Carlson Law Firm, Consumer Reports, Aiman Psikologi

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.