Siakap Keli
Gambar: Polis Daerah Klang Utara

Polis Buru Seorang Wanita Etnik Rohingya Dipercayai Ketua Geng Jahan & 3 Ahlinya, Aktif Dalam Kegiatan Samun

KLANG, 2 Sept (Bernama) — Polis sedang memburu seorang wanita etnik Rohingya dipercayai ketua ‘Geng Jahan’ bersama tiga pengikutnya yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar Klang, Kuala Selangor serta Kuala Langat sejak bulan Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata wanita berumur lingkungan 30an itu dikehendaki selepas enam konconya terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita etnik Rohingya ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah itu dan Kuala Langat sejak Jumaat lepas.

“Suspek yang diburu sedang dikenali sebagai Norjahan iaitu ketua mereka selain tiga lelaki dikenali dengan nama Md Alam, Rafiq dan Hussin berumur antara 25 dan 35 tahun.

“Kumpulan ini juga dikenali sebagai ‘geng samun Alza biru’ kerana mereka akan menaiki jenis kenderaan itu untuk menyamun. Siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai milik Norjahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Gambar: Polis Daerah Klang Utara

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barang berharga yang dipercayai barang curi dalam serbuan berkenaan, antaranya barang kemas, jam tangan berbagai-bagai jenama, wang kertas Ringgit jenis lama, pelbagai mata wang asing, surat pajak gadai, buku-buku bank, telefon bimbit dan kereta Perodua Alza berwarna biru yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM150,000.

Menurutnya siasatan awal mendapati kesemua suspek etnik Rohingya berumur antara 19 dan 50 tahun yang ditahan itu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka dipercayai mempunyai pertalian keluarga termasuk dengan ketua geng samun tersebut.

Sementara itu Nurulhuda berkata dengan penahanan enam suspek ‘Geng Jahan’, polis percaya 45 kes samun di Klang, Kuala Langat serta Kuala Selangor telah diselesaikan dan kesemua mereka kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Gambar: Polis Daerah Klang Utara
Gambar: Polis Daerah Klang Utara
Gambar: Polis Daerah Klang Utara
Gambar: Polis Daerah Klang Utara

Sementara itu di Butterworth, Pulau Pinang, seorang lelaki mengalami kecederaan parah termasuk putus ibu jari tangan kiri selepas ditetak oleh sahabatnya dengan sebilah pedang samurai dipercayai akibat pergaduhan berkaitan teman wanita suspek, di hadapan sebuah rumah di Permatang Tok Brain, Telok Air Tawar di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya kira-kira pukul 5.00 pagi semalam di sekitar Butterworth, di samping merampas padang samurai digunakan dalam kejadian.

Beliau berkata lelaki berumur 20 tahun yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan, dan kes disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan di sini beliau memberitahu mangsa yang berumur 28 tahun masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) dan keadaannya stabil.

Sumber: BERNAMA, Polis Daerah Klang Utara

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.