Para pegawai kerajaan di Gowa, Sulawesi Selatan dilapor berdepan tindakan dipecat daripada jawatan jika tidak fasih membaca Al-Quran.
Menurut Kompas, seramai 76 pegawai kerajaan telah menjalani ujian kompetensi bacaan Al-Quran pada 30 Ogos lalu.
Ujian tersebut merupakan sebahagian daripada saringan untuk para peserta yang ingin merebut jawatan lebih tinggi.
“Ini sebahagian dari pemilihan kecekapan yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri. Ia menjadi prasyarat bagi menjawat jawatan di Kabupaten Gowa,” kata Muh Basir, Ketua Jabatan Sumber Manusia Pejabat Daerah Gowa.
Sementara itu, kata Pegawai Daerah Gowa, Adnan Purichta Ichsan Yasin Limpo, cara ini digunakan untuk memilih pegawai yang layak untuk mengisi kekosongan di beberapa jabatan.
Tambahnya, Gowa merupakan daerah pertama di Sulawesi Selatan yang menjalankan ujian berkenaan dalam pemilihan pegawainya.
“Kelmarin 76 pegawai telah diuji mengaji dan terdapat 14 orang yang belum fasih. Namun kerana nama-nama itu sudah keluar dari Kementerian Dalam Negeri, maka mereka kami beri waktu enam bulan untuk belajar,” katanya.
“Jika dalam enam bulan belum fasih, maka mereka bersedia dipecat berdasarkan surat akuan yang telah ditandatangani mereka,” ujarnya.
Sumber: Kompas