Siakap Keli

Penurunan Harga Siling Pelitup Muka Masih Dibincang Pastikan Ia Kekal Berkualiti

KUALA SELANGOR: 3 September, cadangan kerajaan untuk menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapisan bawah RM1 masih dalam proses perbincangan dengan pengilang dan pembekal tempatan bagi memastikan barangan itu kekal berkualiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya perlu berhati-hati untuk menurunkan harga siling berkenaan supaya pengilang tempatan yang menghasilkan pelitup muka mampu memasarkan barangan itu dengan kos munasabah.

Tambahnya, cadangan untuk menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapisan juga bergantung kepada kemampuan pengilang dan keberadaan barangan tersebut di pasaran.

“Kita tahu pelitup muka (tiga lapisan) di pasaran pada ketika ini sudah mencukupi tetapi kita sedang menjalankan penilaian menyeluruh dalam menentukan harga siling barangan berkenaan di pasaran.

“Dalam masa sebulan ini (September) ini kami akan lihat perkembangan khususnya kestabilan harga dan keberadaan bekalan pelitup muka. Mungkin Oktober nanti kami akan turunkan harga barangan tersebut,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kilang Medidata Sdn Bhd di sini, hari ini.

Nanta berkata buat masa ini negara tidak menghasilkan sendiri ‘melt blown filter’ iaitu bahan mentah yang digunakan dalam penghasilan pelitup muka menyebabkan harga barangan tersebut mahal semasa fasa awal penularan wabak COVID-19 sebelum ini.

“Harapnya pada masa akan datang, negara dapat hasilkan sendiri bahan itu, jadi tidak perlu kita import dari luar negara.

“Kami berharap akan ada inisiatif sendiri daripada pihak pengilang dan kerajaan menggalakkannya kerana ia juga adalah satu perniagaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam mengawal serta menetapkan harga siling perkhidmatan kedai dandanan rambut yang didakwa semakin mahal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini.

“Yang kami boleh kawal ialah mereka mesti mempamerkan harga servis mereka. Lagipun ia dilihat kurang sihat bagi peniaga kalau kami kawal (harga) semuanya.

“Itu cara kami lindungi hak pengguna yang pengguna mesti tahu harga sebelum mendapat khidmat atau membeli sesuatu produk,” katanya.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.