Siakap Keli

Ada Kencing Manis Masa Mengandung? Awas Ibu, Kesannya Mungkin Berlanjutan Lepas Bersalin

Bagi wanita yang sedang hamil cahaya mata, pelbagai perkara perlu diberi perhatian terutamanya kesihatan diri.

Salah satunya adalah masalah diabetes gestasi, atau kencing manis ketika hamil. Ada yang kita, ia akan hilang sebaik sahaja wanita bersalin. Betul ke?

Jom ikuti perkongsian Hello Doktor dibawah.

Ramai yang kata diabetes gestasi, kencing manis semasa mengandung akan hilang sebaik wanita bersalin.

Namun hakikatnya tidak begitu. Kesannya mungkin berlanjutan untuk tempoh yang lebih lama.

Alami masalah kencing manis semasa mengandung

Kencing manis semasa mengandung atau diabetes gestasi berlaku apabila tahap glukosa darah tinggi dikesan buat kali pertama semasa hamil.

Ia mungkin disebabkan diabetes yang tidak didiagnosis sebelum ini.

Umumnya, keadaan kesihatan ini hanya berkaitan dengan kehamilan.

Hormon kehamilan mengurangkan tindakan insulin dan meningkatkan permintaan insulin – cara yang sama seperti diabetes jenis 2.

Faktor yang meningkatkan risiko wanita untuk mengalami diabetes gestasi atau turut dikenali sebagai diabetes kehamilan adalah:

  • Sejarah keluarga menghidap diabetes
  • Berat badan melebihi nilai BMI sihat
  • Bergelar ibu pada usia tua
  • Kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Pernah mengalami kencing manis semasa mengandung atau pradiabetes pada kehamilan terdahulu
  • Mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS)
  • Pernah melahirkan bayi dengan berat lebih 4 kilogram

Dalam kebanyakan kes melibatkan diabetes kehamilan ini, tahap hormon dan glukosa darah akan kembali normal setelah bayi dilahirkan.

Walau bagaimanapun, ia mungkin berkembang menjadi diabetes jenis 2. Adakah ia benar?

Risiko kencing manis semasa mengandung kekal

Kebanyakan kes penyakit kencing manis yang berlaku semasa hamil ini akan hilang sebaik sahaja selepas kelahiran anak.

Pun begitu, wanita yang menghidapi penyakit ini lebih cenderung untuk mengembangkan diabetes gestasi pada kehamilan akan datang dan sekali gus mendapat diabetes jenis 2.

Jika masalah kesihatan diabetes gestasi ini tidak diuruskan dengan baik, wujud risiko komplikasi lebih besar semasa mengandung dan melahirkan untuk ibu dan anak.

Ini termasuklah tekanan darah tinggi, kelahiran pramatang, mempunyai bayi besar atau memerlukan pembedahan caesarean.

Dengan penjagaan kehamilan yang baik, amalan diet sihat, melakukan aktiviti fizikal dan penggunaan ubat-ubatan seperti insulin atau metformin – menurunkan kadar glukosa darah – jika diperlukan, masalah ini dapat dielakkan.

Ibu yang menghidap diabetes semasa hamil disarankan untuk melakukan ujian darah selepas 6 hingga 12 minggu untuk menentukan sama ada penyakit itu benar-benar hilang atau sebaliknya.

Walaupun penyakit diabetes tidak dapat dikesan selepas bersalin, namun wanita yang pernah mengalami kencing manis semasa mengandung ini terdedah kepada risiko masalah kesihatan di kemudian hari.

Ada yang mengatakan proses kehamilan ini sebagai ‘ujian metabolik’ khas.

Ini kerana keadaan yang berlaku dapat membongkar kemungkinan masalah ketahanan tindakan insulin atau pengeluaran insulin yang tidak mencukupi yang tersembunyi sebelum berbadan dua.

Dari diabetes gestasi kepada diabetes jenis 2

Risiko untuk diabetes jenis 2 buat wanita kencing manis semasa mengandung adalah sehingga 7x ganda berbanding mereka yang tidak mengalami masalah kesihatan ini.

Ini dapat dilihat pada 5 hingga 10 tahun akan datang. Selepas itu, anda terdedah kepada risiko menghidap diabetes jenis 2 sepanjang hayat.

Terdapat faktor risiko lain untuk diabetes jenis 2, iaitu:

  • Berusia lebih 40 tahun
  • Mempunyai pertalian dengan mereka yang menghidap diabetes, ibu bapa, abang atau kakak
  • Berat badan berlebihan atau obesiti – nilai BMI tinggi
  • Menghidap PCOS
  • Merokok
  • Latar belakang keluarga anda adalah Afrika Amerika, Hispanik/Latino, Amerika India, Asia Amerika atau Kepulauan Pasifik, anda berisiko tinggi mengalami diabetes

Diabetes jenis 2 adalah masalah kesihatan sepanjang hayat yang boleh menjejaskan kehidupan seharian.

Jika mengalaminya, anda perlu sentiasa mengawasi tahap kesihatan dan melakukan pemeriksaan secara berkala.

Sekiranya tidak, masalah serius lain boleh berlaku, seperti:

  • Keguguran dan bayi mati dalam kandungan
  • Masalah dengan buah pinggang
  • Penyakit jantung dan strok
  • Hilang deria rasa – kerosakan saraf – wujudkan masalah dalam hubungan seks
  • Masalah kaki – luka dan jangkitan
  • Kehilangan penglihatan dan kebutaan

Berbanding dengan wanita tanpa diabetes gestasi, risiko terkena tekanan darah tinggi dan penyakit jantung hampir 3x ganda.

Kajian juga dibuat pada kanak-kanak yang lahir semasa ibunya menghidap diabetes semasa mengandung.

Mereka ini mempunyai risiko tinggi mengalami kegemukan dan diabetes apabila dewasa.

Lakukan perubahan gaya hidup

Kedengaran membimbangkan, namun ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko mengalami kencing manis, termasuklah:

  • Makan dengan baik
  • Kekal aktif
  • Dapatkan berat seimbang dengan ketinggian (mempunyai BMI normal)
  • Berhenti merokok

Mengamalkan gaya hidup yang sihat bukan hanya akan mengurangkan risiko diabetes jenis 2, tetapi juga akan menghindari kemungkinan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Ini termasuk barah, penyakit jantung, strok, kemurungan, artritis dan juga demensia.

Sumber: helloDOKTOR

 

Alfi Aiman