Siakap Keli
gaduh spanar
Gambar: Google

Belasah Remaja Guna Sepana, 10 Lelaki Ditahan

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) — Seramai 10 individu ditahan berhubung kes seorang remaja dipercayai dipukul sekumpulan lelaki bersenjatakan sepana di Banting, Kuala Langat dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek yang ditahan adalah lelaki warga tempatan berusia 20-an hingga 40-an dan kini direman sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata tangkapan dibuat di sekitar daerah Kuala Langat melibatkan enam suspek, semalam dan empat suspek, dua hari lepas.

“Motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Neighbourhood Watch Programme di Seksyen U5, di sini hari ini.

Isnin lepas, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun tidak sedarkan diri selepas cedera di bahagian muka akibat dipukul sekumpulan lelaki di Pantai Kelanang, Banting.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 19 tahun sedang menunggang motosikal bersama rakannya sebelum dihalang sekumpulan lelaki yang membawa kepada pertengkaran mulut dan pergaduhan.

Sementara itu, Noor Azam berkata Neighbourhood Watch Programme yang masuk kali keempat dianjurkan kali ini adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat industri tentang pentingnya semangat kejiranan dalam mencegah jenayah di kawasan perindustrian dan pusat perniagaan.

Beliau berkata bagi daerah Sungai Buloh, satu kes jenayah di kawasan perindustrian dikesan pada tahun ini berbanding 14 kes tahun lalu dan lapan kes pada 2018.

“Diharapkan dengan wujudnya hubungan baik ini akan dapat meningkatkan kesedaran dan kesediaan mereka dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.