Sesetengah orang mungkin mempunyai rasa geli untuk berkongsi tandas duduk dengan orang lain. Apatah lagi jika ada bau-bauan tidak menyenangkan dan kesan mencurigakan di atas pelapik tandas. Boleh hilang selera dibuatnya.
Oleh itu, ada yang mengambil inisiatif meletakkan tisu di atas pelapik tandas bagi mengelakkan kontak terus dengan objek berkenaan.
Langkah ini dirasakan lebih bersih dan selamat dari segala kotoran yang dikhuatiri tertinggal di atas tandas. Pun begitu, tahukah anda, cara ini sebenarnya tidak menjamin kebersihan anda.
Menurut Charles Gerba, pensyarah Mikrobiologi di Universiti Arizona, apabila seseorang mengepam tandas, semburan aerosol yang mengandungi bakteria akan terhasil.
“Anda akan menghasilkan aerosol ketika mengepam tandas sepertimana bersin (menghasilkan aerosol),” kata Gerba.
Titisan halus di udara ini akan tersebar hingga sejauh tiga kaki radius, meliputi perkakasan di dalam tandas termasuk tisu yang terdedah.
Dalam kajian beliau, Gerba mendapati tisu tandas merupakan antara objek yang memiliki banyak bakteria di samping lantai, tuil pam tandas, sinki dan paip.
Malah, beliau turut mendapati tisu tandas 150 kali lebih banyak bakteria berbanding pelapik tandas berikutan fizikalnya yang lebih mudah menjadi tempat pembiakan. Sementara itu, pelapik tandas pula lebih kurang bakteria berikutan penciptaannya yang khusus untuk meminimakan pembiakan bakteria.
Tidak ketinggalan, tombol pintu pula menjadi antara kawasan ‘terbersih’ berikutan kebanyakan individu sering membasuh tangan sebelum menyentuhnya.
Sumber: Research Gate, Insider, Cleanlink