GOMBAK, 4 Sept – Sebuah kereta api elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak bergesel dalam satu kejadian berhampiran Stesen Kuang dekat sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, tren komuter tersebut sedang dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar ke Stesen KL Sentral.
“Seorang penumpang komuter tercedera, manakala 29 penumpang komuter lain serta 93 penumpang ETS terselamat.
“Penumpang komuter yang cedera ringan di tangan itu telah diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang sebelum mangsa meneruskan perjalanan ke Stesen Sungai Buloh.

“(Manakala) penumpang ETS yang terbabit juga telah dipindahkan menaiki ETS berikutnya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Kamarulzaman, kerja-kerja baik pulih di tempat kejadian kini sedang giat dijalankan.
Dalam masa sama, satu landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan tren-tren lain.
“Kita jangkakan akan berlaku sedikit kelewatan bagi perkhidmatan tren-tren tersebut.
“Siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian,” tambah kenyataan itu lagi.
Jelasnya, semua agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah dimaklumkan mengenai siasatan tersebut.



Sumber: KTM Berhad