Siakap Keli
Foto: Bernama Via Facebook

Dua Maut Dan Dua Kanak-Kanak Cedera Kereta Bertembung

KUANTAN, 5 Sept – Dua pemandu maut manakala dua kanak-kanak cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung di Kilometer 164 Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Kampung Kubang Ikan di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata Mohd Sharfizza Hashim, 43, seorang guru, dan Tan Mong Eng, 76, pengasuh pusat asuhan kanak-kanak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam insiden pada pukul 3.45 petang.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Toyota Vios yang dipandu Tan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta Nissan Almera yang dinaiki Mohd Sharfizza bersama anak-anaknya.

“Dua anak Mohd Sharfizza masing-masing berusia 10 dan 14 tahun yang cedera akibat kemalangan itu dikejarkan ke Hospital Kemaman, Terengganu untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang