Siakap Keli

TERKINI: Messi Umum Kekal Di Barcelona Musim Depan, Tamatkan Spekulasi ‘Pindah’ Ke Man. City

Bintang bola sepak dunia dan juga tonggak utama Barcelona, Lionel Messi mengumumkan bahawa beliau akan kekal bersama bersama kelab gergasi La Liga itu musim depan.

Dalam perkongsian tweet oleh Goal, Messi memaklumkan dia tidak gembira dan mahu berpindah namun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Justeru bagi mengelakan sebarang pertelingkahan lebih lanjut, beliau memutuskan untuk kekal bersama Barcelona untuk musim depan.

Messi juga menyifatkan pengurusan dibawah Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu sebagai satu ‘malapetaka’.

”Apabila saya memaklumkan hajat mahu berpindah kepada keluarga, ia menjadi tidak keruan dan anak saya mula menangis. 

”Anak saya tidak mahu berpindah, tidak mahu bertukar sekolah dan mahu kekal di Barcelona.

”Tetapi saya melihat jauh ke masa depan. Saya mahu bersaing diperingkat tertinggi, menang trofi, bersaing di UCL. Kamu boleh kalah atau menang di UCL, keran ia sangat sukar, tetapi kamu perlu bersaing.

”Sekurang-kurang kamu perlu berusaha untuk bersaing dan tidak membiarkan kami tersungkur di Roma, Liverpool dan Lisbon. Semua ini mempengaruhi keputusan yang saya ingin buat.

Bagaimanapun, hajat Messi untuk berpindah tidak dipersetujui Bartomeu, yang mana Messi mendakwa dia boleh berbuat demikian sebaik sahaja musim 2019/20 berakhir.

”Saya berpendapat, saya bebas untuk meninggalkan Barcelona secara percuma, dan presiden selalu memberitahu yang saya boleh membuat keputusan untuk kekal atau berpindah apabila musim berakhir.

”Tetapi kini, mereka (pengurusan) berkata saya tidak boleh berpindah kerana saya tidak memaklumkan perkara itu sebelum 10 Jun, sedangkan La Liga masih berlangsung ketika itu disebabkan pandemik COVID-19  dan virus ini telah menjejaskan seluruh musim.

”Ia menjadi alasan mengapa saya masih kekal di kelab ini selepas 10 Jun. Tetapi hari ini, saya kekal disini kerana presiden berkata salah satu cara untuk saya keluar adalah dengan menebus klausa bernilai 700 juta Euro, dan ia amatlah mustahil.

Selain menebus klausa, terdapat satu lagi cara untuk Messi berpindah.

”Satu lagi cara untuk saya berpindah adalah melalui mahkamah. Tetapi mustahil untuk saya mengheret kelab yang saya cintai ini ke mahkamah. Barcelona telah memberikan segala-galanya kepada saya sejak saya tiba disini.

”Kelab ini adalah hidup saya. Disini saya bina kehidupan saya.

”Barcelona memberikan saya segala-galanya dan saya memberikan Barcelona segala-galanya. Jadi, mengheret Barcelona ke mahkamah adalah mustahil.

Messi turut mendedahkan perbualan dengan anaknya, Thiago yang merayu supaya mereka tidak berpindah dan itu adalah sesuatu perkara yang menyukarkan baginya. Pada masa yang sama, beliau berterima kasih dengan isterinya kerana sentiasa berada disisinya.

”Saya mencintai Barcelona dan saya tidak mungkin menemui tempat yang lebih baik lagi dari yang ini. Tetapi, saya berhak membuat keputusan. Saya mahu mencari cabaran baru.

”Anak-anak dan keluarga saya membesar disini. Tiada apa yang salah dengan keputusan saya mahu berpindah. Saya perlukannya, kelab perlukannya dan ia keputusan terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Pengumuman itu sekaligus menamatkan segala spekulasi yang muncul sejak kekalahan memalukan kelab diwakilinya di tangan Bayern Munich ketika pertembungan separuh akhir dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Sejak kekalahan 8-2 tersebut, pelbagai laporan media menyebut Messi tidak gembira dengan apa yang berlaku di kem Barcelona dan merancang untuk beralih angin ke liga berbeza, antara yang disebut-sebut adalah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Messi sebelum ini dikaitkan dengan penyatuan semula dengan Pep Guardiola dan cakap-cakap menyatakan Manchester City dipilih sebagai kelab seterusnya buat tonggak skuad Argentina itu.

Bagaimanapun, dengan pengumuman dibuat oleh Messi sebentar tadi, maka harapan untuk peminat EPL melihat seorang pemain bola sepak yang dianggap sebagai terbaik di dunia ‘merumput’ di England tidak kesampaian, sekurang-kurangnya untuk semusim lagi.

Messi dijangka kembali ke padang latihan dibawah jurulatih baru, Ronald Koeman, untuk kembali bangkit dari musim suram tahun ini tanpa sebarang trofi.

Sumber: Goal

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.