JOHOR BAHRU, 6 Sept (Bernama) — Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat melakukan jenayah itu ke atas seorang lelaki, di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.
Shahnaz dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu tidak jelas untuk mengaitkan ketiga-tiga tertuduh dalam kes berkenaan.
“Bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil juga tidak sepadan dengan darah yang ditemui di lokasi selain tiada siasatan dilakukan terhadap bukti alibi,” katanya.
Menurut Shahnaz, pihak pendakwaan juga gagal mengaitkan kereta BMW yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama, didakwa dengan niat bersama lima orang yang masih bebas, membunuh mangsa 44, pada kira-kira 7.30 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini, pada 17 Dis 2017.
Dua daripada tertuduh serta dua orang yang masih bebas pula didakwa bersubahat dengan seorang lagi tertuduh dan lima orang yang masih bebas membunuh mangsa pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.
Salah seorang tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati manakala dua lagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang, tertuduh diwakili peguam Datin S.Freda, Che Azlin Farahannis Evani, Foo Fang Leong dan Veeranesh Babu.
Manakala seorang lagi tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan tertuduh ketiga diwakili peguam Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani.
Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan itu.
— BERNAMA