Siakap Keli
Gambar Via Google

Ditinggalkan Sepi Tidak Berpenghuni, Ini Antara ‘Bandar Berhantu’ Di Seluruh Dunia Yang Semakin Dilupakan

Mungkin sukar untuk dibayangkan namun tahukah anda bahawa bandar-bandar ‘hantu’ sebenarnya wujud. Dalam kesibukan masyarakat di seluruh dunia menjalani kehidupan masing-masing, terdapat banyak bandar yang terbengkalai.

Dari perkampungan yang menyeramkan di California yang sebelum ini menarik perhatian ribuan pelombong emas ke perkampungan palsu yang dirancang untuk melatih Tentera Inggeris bagi memerangi Tentera Jepun. Terdapat beberapa penempatan kosong yang luar biasa di seluruh dunia.

Kini, semua tempat-tempat tersebut hanya menjadi tumpuan bagi jurugambar dan ‘pemburu-pemburu hantu’.

Kebanyakan tempat menyeramkan itu juga dijadikan sebagai lokasi pengambaran dan ada juga beberapa tempat yang disenaraikan oleh UNESCO. Menurut laporan Mirror, ini merupakan senarai beberapa tempat yang menarik di seluruh dunia namun sepi tanpa kelibat manusia.

1. Bodie, California

Bodie merupakan sebuah bandar perlombongan emas di sebelah timur pergunungan Sierra Nevada yang dibiarkan terpelihara dalam keadaan menakutkan.

Walaupun pernah memiliki populasi lebih dari 10,000 orang semasa zaman kegemilangan emas, ia kini ditinggalkan terbiar.

Pada waktu itu, laluan bandar itu dipenuhi dengan lebih dari 70 salon, lorong boling, dewan perjudian, kedai dan gereja. Namun, perlombongan di situ telah mula merosot pada 1913 sebelum ditutup sepenuhnya pada 1942.

2. Kilamba New City, Angola

Anda pasti tertanya-tanya mengapa bandar yang kelihatan cantik dan tenang ini digelar sebagai bandar ‘hantu’. Dibina oleh firma China, bandar yang terletak hanya 28 batu di luar ibu kota Luanda ini dapat menampung 500,000 penduduk.

Namun banyak bangunan di bandar ini masih kosong kerana harga yang terlalu tinggi bagi penduduk Angola.

Menurut Architectural Digest, hanya 80,000 penduduk telah berpindah pada tahun 2018 dan meninggalkan lebih dari 750 bangunan apartment, kedai dan sekolah kosong.

3. Pripyat, Ukraine

Merupakan rumah bagi ribuan keluarga yang bekerja di Loji Tenaga Nuklear Chernobyl , 50,000 penduduk telah mengosongkan bandar tersebut pada hari kejadian letupan.

Letupan dari reaktor nuklear pada 26 April 1986 lalu menandakan bahawa bandar itu kini diperingati sebagai penghormatan kepada hari yang tragis tersebut ketika ia ditinggalkan.

Kini, rumah-rumah, kedai dan sekolah masih lagi terkunci, dengan buku masih terdapat di meja kanak-kanak dan serpihan yang masih bertebaran di bandar itu.

4. Varosha, Cyprus

Sebelum pembahagian Cyprus pada tahun 1974, resort percutian Varosha merupakan salah satu dari destinasi paling glamor di Med.

Digambarkan sebagai “Riviera Perancis dari Cyprus”, ia pernah mendapat kunjungan dari selebriti Hollywood.

Pun begitu, setelah tentera Turki menyerang utara Cyprus, penduduknya melarikan diri dan tempat percutian menjadi kawasan larangan.

Walaupun agak terhad untuk mengunjungi kawasan itu namun dapat dilihat rumah-rumah terbengkalai sepenuhnya dengan pinggan dan peralatan makan ditinggalkan di atas meja ketika penduduk tergesa-gesa pergi dari situ.

Sumber: Mirror

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa