Siakap Keli
Gambar: GPM

“Keadaan Masa Tu, Sangat Teruk & Sukar…” Aktivis Malaysia Dedah Realiti Menyayat Hati Bantu Mangsa Letupan Beirut Di Lubnan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tragedi letupan gudang di Beirut, Lubnan pada bulan lepas masih lagi menghantui kita.

Jika diimbas kembali, letupan tersebut menghasilkan impak ledakan yang sangat besar sehingga ‘berjaya’ memusnahkan ribuan bangunan, meninggalkan kawah yang dalam di kawasan letupan, mengorbankan ratusan insan, malah mencederakan ribuan lagi.

Walaupun letupannya sekadar di sekitar Beirut, namun perkhabaran dukanya terbang lebih jauh ke serata dunia hingga menggerakkan beberapa badan kemanusiaan bersiap siaga bergegas menuju ke lembah kemusnahan tersebut, termasuklah dari Malaysia.

Urgent Call For Lebanon

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Tidak menunggu lama, lima badan bukan kemanusiaan (NGO) di Malaysia terus mencapai kata sepakat untuk berkolaborasi menjalankan misi bantuan kemanusiaan bagi mangsa-mangsa letupan di sana.

Misi Urgent Call For Lebanon dijalankan oleh Malaysia For Syria (MFS), Global Peace Mission Malaysia (GPM), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), My Fund Action dan Kita Fund bermula 13 hingga 26 Ogos lalu.

Setelah dua minggu menyebar bakti, maka empat hero aktivis daripada NGO terlibat telah selamat pulang ke tanah air.

Justeru, pada 4 September lalu, keempat-empat aktivis ini menjalankan sesi bual bicara secara langsung di Facebook Live, masing-masing berkongsi kisah suka duka mereka bersama sepanjang 14 hari di bumi yang musnah itu.

Lubnan tertekan, teruk dan bertambah teruk

Suasana kemusnahan di Beirut. Gambar: GPM

Menurut ketua misi, Syahrir Azfar Alhalabi, keadaan di Lubnan pada ketika itu sangat teruk dan sukar, apatah lagi sebelum insiden letupan itu berlaku, rakyat di sana telah berhadapan dengan kejatuhan ekonomi, ditambah lagi dengan wabak pandemik COVID-19 yang semakin parah.

Jelasnya, purata harian kes jangkitan COVID-19 di sana adalah kira-kira 500 kes sehari.

Angka tersebut menambahkan lagi kerumitan suasana selepas letupan itu telah meragut sebanyak 178 nyawa tidak berdosa termasuk 34 daripadanya adalah pelarian Syria, selain lebih 300 ribu lagi terjejas.

Ada bunyi denyutan nadi di balik runtuhan

Jelas Syahrir, pada Rabu lepas, sepasukan sukarelawan dari Chile dapat mendengar bunyi denyutan nadi di bawah runtuhan bangunan.

Berkemungkinan masih ada lagi mangsa-mangsa yang terselamat biarpun setelah hampir sebulan tragedi tersebut berlaku.

“Sukarelawan cuba menggali dan menyelamatkan mereka yang masih berada di bawah runtuhan,” katanya mengenai penemuan seorang mangsa yang berjaya ditemui hasil daripada kaedah pengesanan denyutan nadi.

Situasi kemusnahan di Beirut. Gambar: GPM

Tambahnya, situasi ini hampir sama seperti yang berlaku pada gempa bumi di Haiti 2010 lalu di mana terdapat mangsa tertimbus berjaya diselamatkan selepas 28 hari di bawah runtuhan, hasil teknologi yang boleh mengesan pernafasan mangsa sejauh 15 meter ke bawah.

Diskriminasi dalam bantuan

Di sebalik keadaan negara yang huru-hara ini, masih terdapat diskriminasi yang membezakan jurang antara warga tempatan Lubnan dengan pelarian Syria yang tinggal di sana.

Hal ini terbukti apabila ada sesuatu bantuan makanan yang dihantar oleh van atau trak ke kawasan penempatan, situasi terdesak mendesak sesetengah mereka untuk berlaku tidak adil, walaupun hakikatnya sama-sama sedang dalam kesusahan.

“Apabila satu keluarga ini datang nak ambil makanan mereka, mereka dihalau. Kenapa?

“(Ia) adalah kerana mereka sebut mereka dari Syria (pelarian). Bantuan yang diberikan itu hanya untuk warga tempatan sahaja.

“Kita pun terfikir, kenapa dalam keadaan sebegini masih berlaku diskriminasi dalam penerimaan bantuan,” kata Syahrir.

Jelasnya, statistik populasi antara penduduk tempatan Lubnan (6.8 juta) dengan pelarian Syria di negara itu (1.5 juta) merupakan salah satu faktornya.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Orang Lubnan beranggapan bahawa pelarian Syria sudah menerima begitu banyak bantuan selama ini, jadi sebab itulah mereka menidakkan pula bantuan untuk tragedi letupan pada kali ini.

Sedangkan hakikatnya pelarian Syria pun berhak mendapatkan bantuan tersebut.

“Apa yang saya tidak boleh lupa adalah apabila kita masuk ke salah sebuah rumah warga tempatan. Di rumah ini kita dapat melihat lebih daripada 10 kotak bantuan makanan.

“Dan apabila kita masuk ke rumah pelarian Syria yang hanya selang setingkat dari rumahnya, mereka dapat satu kotak sahaja.

“Jadi situasi tersebut menyebabkan kami mula memikirkan bagaimana kita dapat beri bantuan kepada pelarian yang terjejas.

“Kita kena faham, pelarian sudah lama tertekan. Jadi bila letupan ini berlaku, mereka jadi semakin tertekan,” katanya lagi.

Selain itu, menurut sumber terkini, jumlah bangunan yang musnah di sekitar Beirut adalah kira-kira lebih 40,000 termasuk 15,000 daripadanya merupakan premis perniagaan.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Secara nisbahnya, satu premis beranggaran 10 orang pekerja. Jadi jika didarabkan dengan 15,000 premis, bayangkan berapa ramai jumlah mereka yang terkesan sebenarnya.

“Mereka hilang perniagaan, hilang punca pendapatan, dalam masa sama rumah rosak. Bagaimana agaknya mereka ini nak menyambung kehidupan.

“Mereka sangat-sangat tertekan, ekonomi tidak baik. Jadi kehadiran kita rakyat Malaysia ke Beirut (pada waktu itu) saya jangkakan adalah waktu yang tepat,” jelas Syahrir.

Bantuan NGO luar, sisi baik & gelapnya

Menurutnya, terdapat banyak badan bukan kerajaan (NGO) dari negara lain turut turun ke beberapa kawasan penempatan di Beirut bagi menyampaikan bantuan, antaranya di Karantina yang jaraknya hanya sekitar 100 meter dari pelabuhan tersebut.

“Tapi yang jadi permasalahan dan kemusykilan kami adalah kedatangan NGO-NGO ini tidak ada satu badan yang mengkoordinasi bantuan. Contohnya macam dalam satu rumah boleh ada 15 kotak, tapi rumah lain satu kotak.

“Bantuan tidak diselenggara dengan baik, ada berlaku diskriminasi bantuan, jurang penduduk tempatan dengan pelarian dan sebagainya. Ini satu kelemahan yang wajar ditangani.

“Jika di Malaysia kita ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bantu mengkoordinasi pergerakan NGO-NGO untuk hantar bantuan ketika berlaku tragedi. Kalau di Lubnan tiada. Itu antara cabaran di peringkat NGO,” katanya.

Dalam proses menyampaikan bantuan, sepatutnya sesama NGO ini harus ada komunikasi dan perbincangan yang baik agar segalanya berjalan lancar, sekaligus tidak berlaku sebarang masalah.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Walaupun bantuan banyak diberi oleh NGO-NGO yang tampil, bagaimanapun di peringkat kerajaan, lain pula ceritanya.

“Mengenai bantuan daripada kerajaan, what do you expect? Dalam keadaan apabila berlaku letupan di pelabuhan, kerajaan pun letak jawatan.

“Jadi, keadaan sangat teruk. Sebab itu hampir setiap hari berlaku rusuhan di pusat bandar. Sebenarnya (rakyat) tidak tahu nak buat apa. Tiada bimbingan.

“Tapi kita faham, ada negara luar contohnya dari Turki hantar bantuan. Ini satu gerak isyarat yang baik dari negara-negara ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu ucap terima kasih kepada kerajaan yang telah salur bantuan sebanyak RM1 juta kepada Lubnan,” tambahnya lagi.

Cabaran menguruskan pergerakan misi

Sementara itu, aktivis, Salman Yusop menjelaskan, terdapat beberapa cabaran besar yang mereka berempat hadapi, bermula sejak di tanah air lagi.

“Letupan berlaku Selasa, kami pergi Khamis. Pelan nak pergi Ahad, sekali tengok surat tidak dapat lagi. Kami berempat ni buat gamble je keputusan. Ahad buat COVID test, Bismillahi tawakkaltu alallah, ada rezeki kita pergi.

“Hari Isnin kami hubungi Kementerian Luar, masih belum dapat jawapan. Selasa petang baru dapat, dan malam tu tanpa fikir panjang, kami terus beli tiket keesokan harinya (Rabu) sebab kita sudah tiada masa.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

“Sebab COVID test untuk fly dia valid dalam masa empat hari. So Khamis kena buat baru, jadi kami taknak bazir duit, terus fly. Alhamdulillah tiket pun tidak berapa mahal.

“Cuma itulah proses dengan surat dan sebagainya untuk lepaskan kami ke sana. Dan Alhamdulillah, kita sampai walaupun ada sedikit dugaan di KLIA dan sewaktu kita tiba di Beirut,” katanya.

Siapa rakan kolaborasi & jenis bantuan yang disampaikan

NGO yang menjadi rakan kolaborasi untuk misi ini adalah Muslim Volunteer Malaysia (MVM), My Fund Action, Global Peace Mission Malaysia (GPM), Kita Fund dan sebuah NGO dari Brunei, iaitu We Care.

Difahamkan, antara jenis bantuan yang disampaikan adalah bantuan makanan; bantuan kebersihan seperti pelitup muka, sabun basuh tangan dan sabun bayi; bantuan makanan yang telah dimasak serta bantuan pembaikan semula rumah.

“Secara asasnya, kita sedia maklum ekonomi di Lubnan itu sendiri sudah jatuh 85 peratus.

“Saya boleh kata dua tiga tahun lepas pergi Lubnan, nilai duit saya bawa terpaksa spend dua tiga kali ganda untuk cost living sebab krisis ekonomi dan politik yang tidak stabil.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

“Dan (juga) letusan di pelabuhan, di mana pelabuhan itu sendiri menempatkan 80 peratus sumber makanan. Sebab Lubnan banyak sumber makanan dari import.

“Jadi bila letusan itu berlaku, 80 peratus sumber makanan yang mungkin disimpan di gudang (turut) meletus,” jelasnya lagi.

Adakah bantuan hanya di Beirut?

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Jelas Salman, pada awalnya dalam perancangan mereka, bantuan tersebut hanya difokuskan untuk kawasan Beirut, namun antara kawasan lain yang turut terjejas ialah Karantina, Gemmayzeh dan satu kawasan berhampiran Sabra Shatila.

“Tapi kita tidak pergi ke Sabra Shatila sebab kita telah bertemu dengan kedutaan, mereka menasihati kami untuk tidak pergi ke sana berikutan kawasan tersebut agak bergolak.

“Dan kalau siapa yang mengikuti politik di Lubnan, sewaktu kami berada di sana juga, ia merupakan tempoh tegang antara pengikut Syiah dan penduduk Lubnan sendiri berikutan kes pembunuhan Rafiq Hariri, ayah kepada bekas perdana menteri Lubnan,” katanya.

Selain itu, lokasi yang turut dijejaki mereka ialah kawasan-kawasan pelarian seperti Burj Barinjan (kem pelarian Palestin), Masjid Al-Khidr, Ketermaya (pelarian Syria) dan terjauh di Arsal. Semuanya menyasarkan mangsa-mangsa yang terjejas ekonomi mereka.

Cabaran media di lapangan

Dalam mana-mana organisasi, pergerakannya tidak lancar jika tanpa bantuan media. Namun, membawa lensa merakam peristiwa-peristiwa di celah runtuhan bangunan ini bukan sesuatu yang mudah.

Aktivis media, Mohd Aizuddin berkata, dia bersama rakan medianya sering bertukar-tukar poisis tugasan, sama ada merakam gambar mahupun video.

“Kami kena pastikan gambar-gambar wakil bantuan NGO lain ada. Dan bila balik dari lapangan, malam tu akan buat backup dan laporan.

“Posting ke media sosial kena tengok waktu. Di Lubnan waktu berbeza lima jam.. Kita kena buat laporan cepat. Biasanya sampai saja Lubnan, media-media di Malaysia sudah minta laporan seperti gambar video apa yang tengah dilaksanakan,” katanya.

Cabaran dalam mendapatkan sumber sahih

Selain itu, jelas Aizuddin, cabaran paling paling besar yang mereka hadapi adalah rangkaian internet.

“Sewaktu di sana kami juga hadapi masalah capaian WiFi di rumah, terpaksa guna hotspot telefon untuk update dan backup gambar video ke media sosial. Dan sebab itulah antara punca data habis.

“Kadang-kadang pernah hadapi WiFi seharian tiada. Tidak boleh buat apa. Nak taknak tidur sajalah,” tambahnya lagi.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Dalam pada itu, cabaran seterusnya adalah keterbatasan bahasa. Secara asasnya, mereka memerlukan penterjemah.

“Alhamdulillah di sana kami dibantu oleh rakan yang boleh bercakap Arab, jadi kita boleh dapatkan maklumat berkenaan Lubnan ini daripada orang tempatan.

“Daripada maklumat itu kita akan terus update. Walaupun cabaran ini ada, ia tidak jadi masalah bagi media,” jelasnya.

Elektrik menduga kesabaran

Kerja-kerja media sudah tentunya bergantung penuh dengan sumber tenaga elektrik.

Namun bagi Aizuddin, tugasnya agak mencabar pada kali ini kerana gangguan bekalan elektrik yang terjadi benar-benar menguji kerana baginya, tiada elektrik maka tiadalah internet.

“Bayangkan hari itu kita tengah upload gambar dan video dalam sejumlah gb yang besar, bila elektrik terputus, kita kena upload semula.

“Contoh, tengah upload gambar video dalam 10gb, tiba-tiba elektrik mati. Aduh..kita terpaksa upload balik.

“Lagi-lagi kalau apabila elektrik mati, kemudian terbuka balik, WiFi pula tidak hidup. Dia effect pada WiFi.

“Benda (masalah) ini amat mencabarlah bagi media. Data pun cepat habis, beli 20gb pun tidak cukup,” selorohnya.

Peristiwa tidak dapat dilupakan

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah menyaksikan  kemusnahan berskala besar di hadapan matanya sendiri.

“Apabila kita melawat ke rumah orang-orang berdekatan, terus kita merasakan mereka ini memang patut dibantu.

“Dan kita di sana bukan tengok saja rumah-rumah hancur, tapi kita buat kajian selidik apa yang boleh dibaiki. Dalam masa dua hari, kita terus decide nak baiki apa yang rosak,” katanya.

Baginya, melihat ‘kejayaan’ rumah yang rosak itu dibaiki semula dengan mata kepalanya sendiri adalah satu kepuasan.

“Dan setelah dibaiki, moment paling saya suka ialah senyuman, rumah-rumah yang telah kita bantu ada anak kecil. Bila anak kecil ini senyum, ia satu kepuasan tidak terhingga,” tambahnya.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Selain itu, satu lagi peristiwa rakamannya yang tidak dapat dilupakan adalah sewaktu memberi makanan di kem pelarian.

“Saya rasa paling puas adalah ketika berada di Kem Pelarian Ummul Qura, Arsal. Beri makanan panas kepada pelarian Lubnan yang berada di kem.

“Bila saya melihat mereka makan makanan itu, ada satu perasaan yang tidak tergambar bila melihat mereka makan dengan betul-betul selera, macam tanpa menghiraukan masalah,” jelasnya lagi.

Korban cinta demi ummah

Lain pula cerita tentang seorang lagi aktivis, Azmeel Rusli yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama pasangannya baru-baru ini.

Cinta belum sempat mekar, seri raja sehari belum pudar, namun letupan di Beirut telah mengejutkan ‘mimpi indah pengantin baru’ mereka untuk dia berangkat meninggalkan isteri tercinta demi mangsa-mangsa yang memerlukan di Lubnan.

Baginya, ia bukan satu keputusan yang mudah. Keputusan yang diambil haruslah diletakkan seadil-adilnya untuk hati isteri dan hati ummah, meskipun dengan seberat-berat hati.

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

“Waktu inilah makna lelaki itu diuji. Kita kena jadi wise enough untuk pujuk isteri bagitahu yang kita pergi ini bukan saja-saja, tapi untuk melaksanakan amanah rakyat Malaysia.

“Ambil masa juga dalam dua tiga hari untuk pujuk isteri supaya dia redha dengan pemergian (saya).

“Alhamdulillah respon kedua-dua keluarga, sama ada keluarga saya dan keluarga isteri, cuma keluarga saya ada sedikit risau sebab waktu itu nak tinggalkan isteri saya, ketika itu dia tengah sakit…bukan hamil, tapi demam,” katanya, sempat berseloroh.

Pesanan untuk anak muda

Suasana ketika misi bantuan dijalankan. Gambar: GPM

Dalam pada itu, selaku aktivis, Azmeel turut berpesan kepada orang muda agar aktif melibatkan diri dengan misi-misi kemanusiaan.

Jelas Azmeel, bidang kemanusiaan ini tidak berfokuskan kepada identiti atau jenis bangsa, akan tetapi ia adalah menyeluruh.

Baginya, selagi mana seseorang itu berbuat kebaikan walaupun hanya bersama kawan-kawan, secara insaninya ia tetap dikira kemanusiaan.

“Kita sentiasa kena berbuat baik kepada siapa-siapa yang ada di sekeliling kita, sentiasa lakukan kebaikan, bantu mereka dalam keadaan mereka susah.

“Dan kalau ada rezeki, kita dapat pergi tengok masyarakat di luar sana yang lebih memerlukan daripada kita,” jelasnya lagi.

Jangan dilupakan saudara kita di Indonesia

Sementara itu, masihkah anda ingat lagi peristiwa tanah runtuh dan banjir besar yang melanda di kawasan sekitar Bogior dan Jakarta, Indonesia awal tahun ini?

Tragedi turut berlaku di Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 60 nyawa, menurut sumber laporan.

Gambar: MVM/ACT

Difahamkan, mangsa-mangsa yang terkorban didakwa akibat lemas dihanyutkan arus deras, tertimbus oleh tanah runtuh, terkena renjatan elektrik selain turut mengalami hipotemia.

Pada waktu itu, Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menyatakan, banjir besar tersebut terjadi berpunca daripada hujan lebat tahap ekstrim yang mencatatkan bacaan 377 milimeter, melebihi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada 2007 iaitu 340 milimeter.

Gambar: MVM/ACT

Sehubungan itu, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) bersama rakan kerjasama NGO di Indonesia, Aksi Cepat Tanggap (ACT) menjalankan misi kemanusiaan pemulihan infrastruktur di kawasan terjejas terbabit.

Bantuan pemulihan yang disasarkan adalah pembinaan masjid sementara dan tandas awam.

Sumbangan sasaran RM100,000 masih dibuka sehinggga kini.

Mari bantu mereka, kita bina semula Beirut dan Indonesia

Misi Urgent Call For Lebanon tidak terhenti setakat di sini sahaja.

Ketika ini, kerja-kerja baik pulih semula rumah-rumah mangsa letupan Beirut sedang giat dijalankan.

Segalanya adalah bergantung dengan sumbangan anda semua.

Baik pulih rumah sudah mula dijalankan. Gambar: GPM
Baik pulih rumah sudah mula dijalankan. Gambar: GPM

Untuk makluman, misi ini akan bersinambungan dengan fasa seterusnya ketika musim sejuk yang akan berjalan seiring dengan projek tahunan Global Peace Mission Malaysia (GPM), iaitu Winter Aid for The Needy.

InsyaAllah, misi tersebut dijangka akan berjalan pada bulan Mac tahun hadapan.

Jadi, sekiranya anda berminat untuk turut serta berbakti, anda boleh hulurkan sumbangan ke melalui maklumat di bawah ini.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan,

Boleh melalui link atas talian:

https://bit.ly/PeduliLubnan

https://bit.ly/PeduliLubnan

https://bit.ly/PeduliLubnan

Atau deposit sumbangan anda ke akaun,

Global Peace Mission

Maybank: 5642-2161-1602

Bank Islam: 14-023-01-002-922-4

Affin Bank: 1051-9000-2871

CIMB Islamic: 8603-5325-13

Sebarang pertanyaan, sila hubungi kami di talian:

GPM HQ: 03 – 4144 3441

Whatsapp: www.wasap.my/60192411987/PeduliLubnan

 

Gambar: MVM/ACT

Sementara itu, bagi yang ingin menghulurkan sumbangan untuk misi membina masjid di Indonesia di bawah Muslim Volunteer Malaysia (MVM), maklumat adalah seperti berikut:-

Jenis Bantuan:

Pembinaan masjid sementara (RM100 per tajaan)

Pembinaan tandas awam (RM100 per tajaan)

Tajaan umum : RM30 atau Seikhlas hati

Sasaran jumlah keseluruhan : RM 100,000.00

Pautan: https://donation.mvm.org.my/donations/misi-bantuan-kecemasan-indonesia-kita-saudara/

Klik butang “DONATE NOW” untuk hulurkan sumbangan

Gambar: MVM/ACT

Atau ke akaun Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia berikut :

Maybank: 5648-0164-7699

CIMB Islamik: 8602 5378 07

Bank Islam: 1230 0010 0030 65

Reference: Bantuan Banjir Indonesia

Email: [email protected]

*Nota Penting: Jika anda membuat transaksi Online Banking, anda akan melihat paparan transaksi tertulis “Merchant Name: Billplz Sdn. Bhd.”

Billplz Sdn. Bhd. adalah penyedia sistem pengurusan “Payment Gateaway Billplz” yang digunakan oleh Muslim Volunteer Malaysia.

Nota: Sekiranya anda ingin menaja 1 buah masjid, boleh hubungi wakil MVM

Untuk Pertanyaan Lanjut tentang kempen ini, sila hubungi:

Wakil MVM  – 012 235 6854 (Adawiyah)

HQ MVM – 03 8074 0434

Grafik: MVM/ACT

Sumber: Global Peace Mission Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.