Siakap Keli
Gambar: Hindustantime

Gadis Positif COVID-19 Didakwa Dirogol Oleh Pemandu Ambulans Ketika Dalam Perjalanan Ke Hospital

Seorang pesakit Covid-19 didakwa telah dirogol oleh seorang pemandu ambulans di daerah Pathanamthitta di Kerala tengah, India dalam perjalanan ke hospital pada malam Sabtu, lapor Hindustan Times.

Pihak polis menyatakan bahawa suspek telah ditangkap selepas beberapa jam melakukan perbuatan terkutuk itu.

Menurut polis, dua wanita daripada sebuah keluarga telah diuji positif Covid-19 pada petang Sabtu dan mereka kemudiannya dibawa ke pusat kesihatan dengan menggunakan ambulans.

Ketika kejadian, salah seorang daripada wanita tersebut telah dihantar ke hospital rawatan Covid-19, manakala seorang lagi telah diarahkan dihantar ke hospital lain yang terletak sekitar 4km daripada hospital berkenaan.

Pun begitu, pemandu ambulans terbabit telah berpusing-pusing dan memandu sejauh kira-kira 18km sebelum merogol pesakit yang berusia 22 tahun itu di sebuah kawasan terbiar, lapor polis.

Pemandu itu kemudiannya dilaporkan mengugut wanita terbabit sekiranya wanita tersebut membuka mulut berkenaan kejadian berkenaan.

Tidak lama selepas itu, mangsa telah memberitahu kepada doktor mengenai kejadian tersebut ketika dia sedang dimasukkan ke hospital. Kemudiannya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas mangsa telah mengesahkan bahawa dia telah dirogol.

Menteri Kesihatan Kerala, KK Shailaja menggambarkan kejadian itu sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’ dan menyatakan bahawa kejadian tersebut ‘tidak seharusnya terjadi’.

Polis mendapati bahawa suspek yang berusia 29 tahun itu pernah terlibat dalam beberapa kes jenayah pada masa lalu, termasuk cubaan membunuh.

Pihak kesihatan menyatakan bahawa suspek telah direkrut secara sementara dan mereka sedang menyiasat tentang bagaimana dia boleh mendapat pekerjaan itu walaupun ada rekod jenayah. Pegawai di kementerian kesihatan menyatakan bahawa jabatan itu akan mengarahkan supaya satu siasatan dijalankan.

“Jenayah ini merupakan jenayah terancang. Pemandu itu telah mengambil jalan berbelit-belit…Kami telah mengumpul semua bukti. Kami akan mempercepatkan proses perbicaraan untuk memastikan hukuman yang berat diberi kepada tertuduh,” kata KG Simon, Supritendan polis.

Tertuduh, yang sedang dikuarantin kini akan dihadapkan ke mahkamah secara atas talian pada Isnin, kata polis.

Selepas daripada insiden itu, pihak berkuasa kesihatan telah mengeluarkan satu syarat ketat bahawa setiap ambulans harus mempunyai sekurang-kurangnya dua pekerja dan satu penjagaan khas harus diambil sekiranya terdapat pesakit wanita yang menaiki mana-mana ambulans.

Sumber: Hindustan Times

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa