Siakap Keli
Gambar Via Bernama

COVID-19: Asingkan Tahanan Baharu Dan Lama, Elak Jangkitan-KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 10 Sept — Berikutan kemunculan Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah yang berpunca daripada tahanan positif COVID-19 di lokap polis dan penjara, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar pihak berkuasa mengasingkan tahanan lama dan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini penting bagi mengelak penularan COVID-19 pada skala  besar dalam kalangan tahanan.

Meskipun tahanan baharu tidak menunjukkan gejala jangkitan seperti demam dan batuk, atau keputusan ujian Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dijalani mereka negatif, mereka tidak boleh diletakkan di dalam sel atau tempat yang sama dengan tahanan lama, katanya.

“Tempoh inkubasi virus ialah selama14 hari … selepas tamat tempoh itu barulah tahanan boleh diletakkan bersama sekiranya sudah disahkan bebas daripada COVID-19,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Kluster Benteng Lahad Datu bermula apabila dua pendatang tanpa izin yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu didapati positif COVID-19 dan setakat hari ini, 170 kes positif dikesan dalam kluster itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM masih belum mengenal pasti punca jangkitan kes indeks dalam Kluster Sungai dan Telaga namun sedang menjalankan siasatan jika ada hubung kait di antara kedua-dua kluster tersebut berikutan kes melibatkan petugas kesihatan.

“Setakat ini kita tidak dapat melihat lagi kepada data-data yang dapat kita hubung kait antara dua kluster, tetapi kalau kita lihat cara virus ini merebak, kebolehjangkitannya amat tinggi.

“Jadi kita rasa mungkin virus yang menjangkiti kedua-dua kluster itu ada kaitan dengan Kluster Tawar dan PUI Sivangangga. Makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan ujian untuk melihat genotype virus itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM masih memantau bekas pesakit COVID-19 bagi setiap tiga bulan untuk melihat tindak balas antibodi mereka dan kesan jangka panjang seperti darah beku di dalam saluran darah.

“Antara kebimbangan kita ialah fibrosis pulmonari, iaitu jangkitan COVID-19 menyebabkan radang paru-paru yang apabila sembuh terjadi parut dalam paru-paru yang mungkin menjejaskan pernafasan.

“Namun, belum ada laporan akan masalah itu dan setakat ini masih terlalu awal untuk kita lihat pada komplikasi jangka panjang,” katanya sambil menambah darah beku pada mana-mana organ akan menjejaskan fungsi organ itu.

Ditanya jika ada kes arteri retina (darah beku pada saluran mata) dalam kalangan bekas pesakit COVID-19 di Malaysia, beliau berkata kes sebegitu belum berlaku di Malaysia walaupun ada direkodkan di luar negara.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story