Gambar Via India TV News

India Catat Peningkatan Harian Terbesar 95,735 Kes COVID-19

NEW DELHI, 10 Sept (Bernama) — India  pada Khamis mencatatkan kenaikan harian terbesar kes COVID-19, dengan hampir 96,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini  berjumlah 4.4 juta kes.

Angka daripada Kementerian Kesihatan India pada Khamis itu menunjukkan 95,735 kes baharu dan 1,172 kematian dicatatkan di negara ini, menurut agensi Anadolu.

Ini pertama kali India mencatatkan peningkatan yang begitu besar dalam sehari. Disebabkan peningkatan jumlah kes COVID-19 yang sangat tinggi setiap hari, ia baru-baru ini mengatasi Brazil untuk muncul negara kedua yang mengalami jangkitan terburuk virus berkenaan.

Jumlah korban berkaitan COVID-19 kini telah mencecah 75,062.

Negeri di bahagian barat Maharashtra mendahului angka jangkitan pandemik negara, dengan pegawai mengatakan bahawa untuk pertama kalinya dalam lebih dari tiga bulan, jumlah kes COVID-19  “mulai meningkat pada kadar yang lebih cepat secara keseluruhan.”

Pada Khamis pagi, Kementerian Kesihatan juga mengatakan lebih daripada satu juta ujian telah dilakukan di seluruh negara pada Rabu.

Pakar di negara ini berkata pada akhir September India mungkin mengatasi Amerika Syarikat – negara yang paling teruk terjejas oleh pandemik itu di seluruh dunia.

— BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Editor: syafiq halim

Tambah komen