Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Amaran Pelitup Muka Ada Bahan Kimia Adalah Palsu- Aidi

KUCHING, 11 Sept  — Polis Sarawak hari ini menafikan pihaknya telah menghantar pesanan yang tular di aplikasi WhatsApp, berhubung pemberian pelitup muka secara percuma yang dicampur bahan kimia sehingga boleh membuatkan seseorang itu sejuk dan tersungkur, seterusnya dirompak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail turut mengesahkan, mesej yang tersebar baru-baru itu adalah palsu dan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman seperti itu.

“Justeru, Polis Sarawak menasihatkan orang ramai agar menghubungi mana-mana balai polis bagi mengesahkan kesahihan setiap berita, sebelum dikongsikan di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesej palsu yang tular itu kononnya dari polis yang memberi amaran, terdapatnya individu yang mengunjungi rumah ke rumah untuk mengagihkan pelitup muka kepada orang ramai.

Ia turut menyatakan pelitup muka berkenaan sengaja dicemarkan dengan bahan kimia, yang boleh membuat sesiapa yang memakainya pengsan dan seterusnya akan dirompak.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story