Siakap Keli

“Berlari Bukan Hobi Murah Seperti Yang Disangka,” Ini Tiga Sebab Kenapa Lelaki Ini ‘Beralih’ Ke Sukan Berbasikal

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pasti ramai di antara kita yang gemar dengan aktiviti sukan luar yang aktif seperti berlari, kan?

Selain dapat memberi kesihatan yang baik untuk tubuh badan, dalam masa sama ia juga mampu meningkatkan stamina.

Namun, lain orang lain pandangannya.

‘Jagoan’ berbasikal, Zulkarnan Abdul baru-baru ini ada berkongsi pengalaman dan pendapatnya mengapa dia ‘beralih arah’ daripada aktiviti larian ke berbasikal

Apa yang diungkapkan, semuanya berdasarkan pengalamannya sendiri. Mari baca perkongsian ini.

Mengapa saya beralih daripada hobi larian ke hobi berbasikal?

Gambar: Zulkarnan Abdul

Kepada pengembar-pengemar basikal di sini, kita semua ada sebab-sebab tersendiri mengapa kita memilih hobi berbasikal.

Mungkin ada juga ahli-ahli di sini yang masih tidak pasti samada mahu membeli basikal, takut nanti hobi ini adalah bersifat sementara.

Ingin saya ingatkan bahawa cerita saya kali ini sangat berbisa racunnya, jika anda tidak tahan, sila jangan teruskan membaca.

Berikut adalah 3 sebab mengapa saya beralih dari hobi larian ke hobi berbasikal:-

Sebab #1 – Hobi larian bukanlah hobi yang murah seperti yang disangkakan

Ada yang mungkin mengingatkan hobi larian ini adalah murah. Hanya perlu berlari dan berlatih. Sebenarnya lebih daripada itu.

Larian memerlukan kasut terbaik dan paling sesuai untuk kebolehan anda. Ini juga bagi menjamin kesihatan anda terutama lutut dan kaki anda.

Saya mempunyai lima (5) jenis kasut iaitu Nike Air Zoom Structure (2017), Brooks Glycerin (2018), Adidas Alphabounce (2019), Adidas Ultraboost 19 (2019) dan Under Armour Hovr Infinite (2019).

Jika harga kasut ini disatukan, boleh juga membeli sebuah basikal. Tetapi saya ingin mengingatkan kasut ini adalah amat penting.

Gambar: Zulkarnan Abdul

Jika kita tidak laburkan untuk kasut yang betul, kita akan merana seumur hidup. Ramai rakan-rakan saya sudah menghadapi masalah dengan kaki mereka.

Selain itu, pemakanan anda sangatlah penting dan mesti dijaga. Contohnya, pagi-pagi saya akan minum air suam lemon yang diperah, daging lembu/kambing saya tak makan bertahun-tahun lamanya, nasi sedikit sahaja, buah aprikot dan hari-hari kena makan salad.

Semasa berlumba pula kena ada power gel, suplemen dan sebagainya.

Yang paling mahal sekali adalah masa, iaitu kita kena banyak berlatih, tiap-tiap petang saya akan berlari dalam lima (5) kilometer dan hampir tiap-tiap minggu/bulan saya masuk acara larian.

Tidak seperti acara berbasikal, sasaran saya hanya buat kayuhan dalam 150 kilometer sahaja seminggu. Kalau dapat visa jatuh, bolehlah kayuh lebih daripada itu.

Ini hanya memerlukan tiga (3) kali kayuhan seminggu. Ini sasaran sayalah, bukan boleh naik podium pun hahaha.

Walau bagaimanapun kadangkala saya masih berjoging dan masuk acara Half Marathon, Full Marathon, Duathlon dan sebagainya, sebab ingin meningkatkan stamina.

Sebab #2 – Hobi berbasikal boleh mendekatkan anda dengan Penciptanya

Ini sebab yang sangat jujur saya kongsikan. Memang hobi larian pun boleh mendekatkan kita dengan Ilahi tetapi larian memerlukan tenaga, stamina dan jati diri yang sangat tinggi sehinggakan fikiran anda tertumpu sepenuhnya pada melawan kepenatan dan cabaran yang dihadapi.

Apa bezanya dengan hobi berbasikal? Dalam cabaran berbasikal, kita mempunyai masa bonus semasa cruising (iaitu masa basikal meluncur/bergerak apabila kita tidak berkayuh).

Apabila kita melalui pemandangan yang indah dan luar biasa, kita sempat menikmati keindahan alam. Amalan saya adalah berzikir MashaAllah dan Alhamdulillah.

Inilah yang amat sukar dinikmati oleh hobi larian, kerana badan anda terlalu penat untuk menikmati keindahan alam.

Kita juga harus mengagumi ciptaan Ilahi serta bersyukur dengan kesihatan baik yang diberikan.

Gambar: Zulkarnan Abdul

Memang alasan ini subjektif, tetapi bagi saya itulah nikmat yang luar biasa dan saya jatuh cinta dengan hobi berbasikal ini sehingga ke hari ini.

Walau semasa membawa keretapun kita tidak dapat menikmati pengalaman yang sama, daripada segi tiupan angin, udara nyaman dan pemandangan indaah dengan mata kita sendiri.

Selain itu, kayuhan saya juga mengingatkan saya terhadap abang ipar saya yang meninggal dunia semasa berkayuh basikal dengan rakannya, apabila arwah terkena brain stroke.

Beliau meninggal dunia pada usia pertengahan 30an. Jadi kayuhan saya juga adalah bagi memperingati semangat arwah abang ipar saya dan saya kerap berdoa kepada arwah setiap kali saya memasuki acara berbasikal.

Sebab #3 – Keakraban persahabatan dalam hobi berbasikal

Saya ada juga mengenali sahabat-sahabat yang baru semasa acara larian. Tetapi keakraban persahabatan dalam hobi berbasikal ini memang luar biasa.

Rata-rata ramai rider-rider yang saya kenali adalah peramah, baik hati, suka menolong dan tidak kedekut ilmu. Malah mereka boleh menjadi sahabat yang lama.

Seperti yang saya pernah ceritakan, sahabat yang saya kenali di Itali dan Jerman, sehingga kini mereka masih berhubung.

Sampai ke hari ini juga saya boleh sahaja bertanya tentang tip-tip pemakanan, latihan dan sebagainya kepada mereka.

Gambar: Zulkarnan Abdul

Begitu juga sahabat baru di Malaysia. Baru-baru ini semasa kayuhan saya dari Seri Iskandar ke Pulau Pinang, semasa saya berkayuh dalam kumpulan, tiba-tiba datang seorang rider dari kawasan Parit Buntar menegur saya dan saya tertinggal dari kumpulan saya.

Lalu saya terus bonk dan tidak dapat mengejar pace kumpulan saya. Maka rider dari Parit Buntar ini bernama Halim ‘menarik’ dan menunggu saya sehingga ke check point seterusnya sejauh lebih kurang 45 kilometer.

Begitu juga sekumpulan rider-rider semasa AUDAX Merdeka baru-baru ini, walaupun pertama kali berjumpa tapi kami berkayuh, berhenti, makan dan tidur bersama di tepi-tepi kedai.

Itulah sahaja sembang saya pada kali ini. Bagaimana cerita anda pula? Apa yang membuatkan anda mencintai hobi berbasikal ini?

 

Gambar: Zulkarnan Abdul

BACA: Tips Dari Mula Sampai Akhir Cara Nak Bawa Basikal “Travel” Ke Luar Negara

BACA: ‘Otai Masih Berbisa’, Usia Sudah 68 Tahun Tapi Masih ‘Steady’ Kayuh Basikal 200 KM, Lelaki Ini Kongsi Rahsia Ayah Mertuanya

Sumber: Zulkarnan Abdul

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.