Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Lelaki Pulangkan Kembali Telefon Bimbit Dicurinya Gara-Gara Tak Tahu Nak Guna

Seorang lelaki yang kehilangan telefon bimbitnya di sebuah kedai berjaya menemui kembali beberapa hari kemudian selepas orang yang mencurinya itu memulangkan semula telefon bimbit berkenaan kerana tidak tahu cara menggunakannya, lapor Hindustan Times.

Polis menyatakan pada Isnin bahawa lelaki itu telah meninggalkan telefon bimbitnya secara tidak sengaja di sebuah kedai manisan yang terletak di Jamalpur , daerah Burdwan Timur pada 4 September lalu.

Disebabkan terbiar, telefon tersebut didakwa telah dicuri dari kaunter kedai berkenaan dimana ianya ditinggalkan oleh lelaki yang berusia 22 tahun itu.

Pemilik telefon itu kemudiannya telah membuat laporan pada pihak polis selepas telefonnya tidak ditemui di kedai tersebut selepas daripada itu, kata seorang pegawai polis.

Dia cuba menghubungi telefonnya itu menggunakan telefon lain namun mendapati ianya dimatikan, kata polis.

Pun begitu, situasi tersebut mula berubah selepas dia cuba menghubungi telefonnya itu sekali lagi pada Ahad. Lelaki yang didakwa mencuri telefon bimbitnya itu telah menjawab dan memberitahu kepadanya bahawa dia ingin mengembalikan telefon tersebut kerana tidak tahu cara untuk menggunakannya.

“Saya terkejut ketika menerima panggilan lelaki itu kerana dia telah menyatakan bahawa dia mahu mengembalikan telefon saya. Saya kemudiannya terus pergi ke rumahnya dengan bantuan pihak polis bagi mengambilnya semula,” katanya.

“Dia bahkan menyatakan bahawa dia menyesal atas perbuatannya,” kata pemilik telefon itu ketika ditanya.

Polis tidak menahan lelaki itu atas permintaan pengadu kerana dia telah mengembalikan telefon bimbitnya,” tambah pegawai itu.

Sumber: Hindustan Times

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa