Siakap Keli
Gambar: Bernama

Malaysia Masih Pertimbang Penyertaan Piala Thomas, Uber

PUTRAJAYA, 11 Sept  — Malaysia masih meneliti penyertaan atlet badminton negara ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Denmark pada Oktober ini di sebalik kebimbangan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah bersedia untuk kejohanan itu namun, kementerian juga mengikuti rapat keputusan penyertaan negara lain ke kejohanan itu dalam ‘dua, tiga hari’ lagi.

“Kita tunggu dua atau tiga hari…cuma tiada halangan buat waktu ini, hanya perlu patuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya ketika ditanya pendirian Malaysia terhadap penyertaan di Piala Thomas dan Uber selepas beberapa negara mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berkenaan berikutan kebimbangan penularan COVID-19.

Thailand menjadi negara terbaharu menarik diri daripada beraksi di kejohanan itu selepas Taiwan dan Australia.

Kejohanan yang sudah tertangguh dua kali membabitkan acara berpasukan lelaki dan wanita itu adalah kejohanan antarabangsa pertama yang akan dianjurkan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, Mac lepas.

Reezal Merican ketika ditemui media selepas majlis penyerahan Felo Korporat 2020 di sini hari ini berkata beliau difahamkan sekiranya ada satu atau dua negara daripada ‘top 4 atau top 5’ yang menarik diri, kemungkinan kejohanan itu akan ditangguhkan.

Beliau berkata BAM juga telah bertemu dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam bagi mengemukakan cadangan berkaitan SOP yang perlu diambil negara tuan rumah.

“Walaupun Denmark negara hijau (COVID-19) tetapi soal logistik, pemindahan dari lapangan terbang ke hotel. Hotel juga mesti hijau, kalau hotel diduduki oleh mereka yang datang dari negara-negara merah ia tidak dianggap hijau,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right