Siakap Keli

Awas, Arus Karau Nampak Tenang Tapi Ada Bahaya Tersembunyi, Perhatikan Tanda-tanda Ini Ketika Mandi Di Pantai

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sedetik terleka, melayang nyawa. Detik gembira mungkin boleh bertukar menjadi tragedi jika kita terlupa untuk berhati-hati. Malah, kadangkala kekurangan ilmu ‘membaca’ bahasa alam juga mungkin boleh menyebabkan kita menjadi mangsa fenomena alam seperti arus karau yang membunuh.

Sebagai contoh, kes lemas melibatkan arus karau dan kepala air. Biarpun kelihatan tidak berbahaya dan seakan tiada apa-apa, kedua-dua fenomena ini boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.

Jika di anak sungai, anda boleh memerhatikan tanda-tanda akan berlakunya kepala air jika cuaca mendung (walaupun tidak hujan), air keruh dan banyak ranting di dalam air.

Bagi pantai pula, anda perlu berhati-hati dengan arus karau. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang fenomena ini, mari baca perkongsian dari saudara Muhammad Syafiq, melalui Ini Sains Beb di bawah.

Setiap tahun, beratus kes lemas dilaporkan berlaku di seluruh negara kita dan kebiasaannya akan melibatkan kehilangan nyawa.

Antara faktor berlakunya kes lemas adalah disebabkan kehadiran ‘rip current’ atau dikenali sebagai arus karau di persisiran pantai.

Apa itu arus karau dan bagaimana ia terbentuk?

Arus karau merupakan arus yang melalui saluran sempit yang terbentuk di pesisiran pantai dan bergerak menuju ke arah laut.

Secara ringkasnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ia terbentuk antaranya adalah disebabkan keadaan muka Bumi di sekitar pantai seperti wujudnya celah antara dua beting pasir berhampiran pantai sehingga mengganggu pergerakan air untuk kembali ke laut.

Gambar: Britannica

Beting pasir tersebut menyebabkan air laut terumpu pada satu haluan yang membentuk saluran untuk air kembali ke arah laut.

Selain itu , ia juga boleh terbentuk apabila ombak dari laut bergerak pada sudut tegak ke arah pantai dan menyebabkan hadirnya arus yang sejajar dengan pesisiran pantai.

Arus sejajar tersebut akan menyebabkan air laut di pesisiran pantai bergerak menuju pada satu titik yang sama lalu membentuk satu saluran untuk air kembali ke laut.

Arus karau yang bergerak menuju ke laut lazimnya berkelajuan sekitar 0.5 meter/saat dan mampu mencapai kelajuan lebih 2 meter/saat iaitu melebihi kelajuan manusia biasa berenang.

Kelajuannya bergantung kepada kekuatan dan kekerapan ombak , pasang surut air laut dan keadaan muka Bumi di sekitar pantai.

Bagaimana untuk mengenali arus karau?

Kelihatan suatu bahagian permukaan air yang lebih tenang mengunjur dari pantai menuju ke laut berbanding keadaan sekitarnya yang berombak .

Keadaan yang tenang tersebut sebenarnya merupakan bahaya yang tersembunyi. Ramai orang akan tertipu dan beranggapan bahawa bahagian yang tenang tersebut akan lebih selamat berbanding bahagian yang berombak sedangkan di situ la arus karau akan menariknya menjauhi pesisiran pantai.

Warna air yang berbeza berbanding bahagian air yang lain.
Keadaan air akan kelihatan lebih gelap dan berkeladak disebabkan sedimen di pantai ditarik ke arah laut.

Buih-buih dan sampah sarap bergerak menuju ke arah laut.

Gambar: Dr Rip’s Science of Surf/Ini Sains Beb

Bagaimana cara untuk menyelamatkan diri seandainya terperangkap di dalamnya?

1) Bertenang dan kumpul tenaga.

2) Jangan berenang melawan arus kerana arus tersebut membawa anda ke arah laut bukan ke pantai. Melawan arus hanya akan mengurangkan tenaga.

3) Jika anda pandai berenang, Berenang ke arah tepi (kiri atau kanan arus karau)

4) Jika tiada tenaga untuk berenang, usaha apungkan diri dan biarkan arus karau membawa anda sehingga ke hujungnya atau dikenali sebagai ‘kepala’ lalu berenang ke arah tepi arus karau . Semakin jauh arus karau dari pantai, semakin lemah kekuatannya .

5) Setelah keluar dari arus karau, cuba berenang mengikuti arus yang menuju ke pesisiran pantai.

6) Jika tidak mampu berenang sehingga ke pesisiran pantai, lambaikan tangan dan menjerit meminta tolong.

7) Jika anda tidak pandai berenang, berdoalah semoga anda terselamat. Pentingnya di sini untuk belajar berenang.

Semoga bermanfaat.

#inisainsbeb #MuhammadSyafiq #penulisjemputan

Rujukan:

  1.  “NOAA Reminds Swimmers That Rip Currents Can Be a Threat”. National Oceanic and Atmospheric Administration. (www.noaa.gov)
  2. “Rip Currents Science”. National Weather Service. (www.weather.gov )
  3. B Castelle, T Scott, RW Brander, RJ McCarroll (2016).”Rip current types, circulation and hazard”. Earth-Science Reviews.
  4. John Fletemeyer, Stephen Leatherman (2010). “Rip currents and beach safety education”. Journal of Coastal Research.
  5. “How to Identify a Rip Current – and what to do if you are caught in one”. Gwithian Academy Of Surfing ( www.surfacademy.co.uk )

Sumber imej:

  1. Dr Rip’s Science Of The Surf
    https://www.facebook.com/Dr-Rips-Science-of-the-Surf-233716154489

Sumber: Ini Sains Beb, Muhammad Syafiq

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.