Siakap Keli
Gambar: Bernama

JDT Berada Di Landasan Tepat Raih Kejuaraan Liga Super Ketujuh

KUALA LUMPUR, 11 Sept  — Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berada pada landasan tepat untuk melebarkan rekod juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut, selepas menewaskan Terengganu FC 1-0, malam ini.

Perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu itu menyaksikan skuad Harimau Selatan membuka jaringan seawal minit kelima, menerusi pemain prolifik negara Safawi Rasid, yang pantas menyambar bola akibat kesilapan hantaran ke belakang pemain pertahanan Argzim Redzovic.

Menerusi kemenangan itu, skuad kendalian Benjamin Mora terus gah di persada carta Liga Super dengan 19 mata, dengan berbaki empat perlawanan lagi, selepas mencatatkan enam kemenangan dan satu seri.

Liga Super musim ini telah dipendekkan kepada satu pusingan merangkumi 11 perlawanan berbanding format asal yang mempunyai dua pusingan (22 perlawanan), akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Perak bangkit selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan, termasuk keperitan minggu lalu apabila dimalukan 7-0 oleh JDT, dengan menewaskan UiTM FC 1-0 di Stadium Perak.

Jaringan hasil tandukan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit keempat, daripada sepakan percuma Muhammad Rafiuddin Roddin, sudah cukup bagi skuad Bos Gaurus untuk menamatkan rekod empat perlawanan tanpa kalah UiTM FC, sekali gus melonjak ke tangga kedua carta dengan 11 mata.

Di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Melaka 1-1 dalam aksi yang dicemari dengan insiden kad merah, apabila pengadil Nafeez Abdul Wahad mengarahkan Brendan Gan keluar padang selepas mengutip dua kad kuning.

Pasukan pelawat mengejutkan skuad Gergasi Merah menerusi rembatan kencang penyerang import dari Nigeria Uche Agba, pada minit ke-38, namun kegembiraan Melaka tidak bertahan lama apabila pemain import dari Brazil Sandro da Silva, menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian.

Melaka berada di tempat ketiga, diikuti Terengganu, Kedah, Selangor dan UiTM FC berdasarkan kelebihan jaringan walaupun kelima-lima pasukan meraih 10 mata.

Dalam satu-satunya aksi Liga Premier pada petang ini, jaringan tunggal Faiz Hanif Adnan pada minit ke-89, membantu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

UKM FC kini berada di tempat ketujuh dengan lapan mata selepas tujuh perlawanan, enam mata ketinggalan berbanding pendahulu liga, Pulau Pinang yang kurang satu perlawanan, manakala Kelantan United berada di tempat keenam dengan sembilan mata.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right