Siakap Keli
bayi julur lidah
Kredit: Google

Bayi Julur Lidah Itu Normal, Tapi Ada Beberapa Sebab Lain Yang Berbahaya Ibu Bapa Perlu Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bayi lazimnya akan meniru individu di sekeliling sama ada perkataan yang diucapkan, mimik muka atau pergerakan anggota badan.

Ia merupakan sebahagian daripada perkembangan normal bayi. Oleh itu, tidak pelik apabila anak kecil anda pandai menjulurkan lidah jika dia pernah melihat seseorang melakukan perbuatan itu dihadapannya.

Selain itu, tindakan menjulurkan lidah juga boleh menjadi petunjuk jika bayi sedang lapar, kenyang atau belum bersedia untuk makan.

Pun begitu, ada keadaan di mana menjulurkan lidah boleh menjadi tanda kepada keadaan yang lebih serius.

Untuk penjelasan lanjut, mari baca perkongsian oleh Hello Doktor di bawah.

Adakah bayi julur lidah itu normal?

Sebelum mengetahui sebab ia berlaku, wajarlah untuk kita tahu sama ada perbuatan ini adalah normal atau tidak terlebih dahulu.

Buat ibu bapa yang keliru, ia adalah satu perbuatan yang normal dan kalian tidak perlu terlalu risau tentangnya.

Ini kerana bayi dilahirkan dengan naluri dan refleks semula jadi untuk menyedut bagi tujuan menyusu badan.

Sebahagian daripada refleks ini dikenali sebagai ‘tongue-thrust reflex’ yang sangat penting untuk mengelakkan mereka tercekik dan memudahkan mereka menyusu dari puting ibunya.

Selain itu, terdapat banyak lagi sebab bayi julur lidah yang ibu bapa kena tahu!

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Apakah sebab bayi julur lidah?

Baiklah, sekarang kita sudah tahu bahawa perbuatan ini adalah normal. Tapi, apa sebab lain ia terjadi?

1. Mereka sedang bermain dengan anda

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan dalam Journal of Developmental Science, bayi seawal usia beberapa minggu berupaya untuk meniru raut wajah orang lain termasuklah perbuatan menjulurkan lidah.

Itu tandanya mereka sedang bermain dengan anda dan dalam mood yang baik.

Maka ternyatalah perbuatan ini adalah atas dasar mengajuk dan bukannya mengejek.

2. Mereka sudah lapar atau kenyang

Menangis bukanlah satu-satunya cara untuk si kecil berkomunikasi ketika berasa lapar, ia sebenarnya adalah petanda terakhir jika tidak dapat makanan.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menyatakan bahawa petanda yang paling awal untuk menunjukkan mereka lapar adalah seperti berikut:

  • Menggenggam tangan
  • Memasukkan tangan dalam mulut mereka
  • Menghalakan mulut ke puting ibu
  • Menjilat dan memukul bibir sendiri
  • Menjulurkan lidah
  • Bukan itu sahaja, si kecil juga akan melakukan perbuatan ini untuk menunjukkan mereka sudah kenyang.
Gambar hiasan. (Kredit: Google)

3. Mereka belum bersedia untuk makan

Kebanyakan doktor menyarankan ibu bapa untuk memberi si kecil makanan selain susu badan pada usia 6 bulan ke atas namun tidak semua bayi sudah bersedia untuk itu.

Sekiranya kalian menyuapkan makanan bayi dan mereka menjulurkan lidah semasa sedang makan, berhenti segera kerana ia adalah tanda mereka belum bersedia untuk makan.

Ada sebab lain yang lebih berbahaya?

3 sebab di atas tadi adalah punca yang boleh dikatakan normal.

Pun begitu, perbuatan ini juga mungkin menunjukkan sebab lain yang lebih berbahaya seperti:

4. Lidah bayi terlalu besar

Kondisi ini dikenali sebagai macroglossia yang menyebabkan si kecil menjulurkan lidah dengan terlalu kerap.

Ia berpunca daripada genetik serta pembentukan salur darah dan perkembangan otot lidah yang tidak normal.

Lebih membimbangkan, lidah bayi terlalu besar juga adalah salah satu simptom sindrom Down dan sindrom Beckwith-Wiedemann.

Macroglossia. (Gambar: Google)

5. Mulut bayi terlalu kecil

Kondisi ini dikenali sebagai micrognathia yang turut menyebabkan si kecil menjulurkan lidah dengan terlalu kerap.

Ia juga berpunca daripada genetik atau salah satu simptom cleft lip atau cleft palate (sumbing).

Sama seperti di atas tadi, mulut bayi terlalu kecil juga adalah salah satu simptom sindrom Down, sindrom Beckwith-Wiedemann, sindrom Pierre Robin dan sindrom DiGeorge.

Micrognathia. (Gambar: Google)

6. Kemerosotan otot pada lidah

Lidah adalah otot yang dikawal oleh pelbagai otot lain di dalam mulut dan jika ia merosot, maka perbuatan bayi julur lidah akan selalu berlaku.

Antara dalang kepada kondisi ini adalah sindrom Down, Sindrom DiGeorge dan cerebral palsy.

7. Mereka sukar untuk bernafas

Akhir sekali, bayi menjulurkan lidah mungkin disebabkan oleh mereka sukar untuk bernafas.

Selain itu, mereka juga mungkin akan menunjukkan beberapa gejala lain seperti hidung mengembang dan menguncup, mengeluarkan bunyi pernafasan yang tidak normal, batuk atau bersin.

Ia mungkin berpunca akibat flu dan selesema yang menyebabkan hidung si manja tersumbat.

Walau apapun sebab ia berlaku, ibu bapa haruslah lebih peka dan membawa si kecil berjumpa doktor untuk sesi konsultasi dan rawatan lanjutan jika perlu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.