Siakap Keli

Covid-19: Radzi Ingatkan Guru, Pentadbir Sekolah Lebih Berhati-Hati, Laksana SOP

KUDAT, 14 Sept – Guru, pengetua dan pentadbir sekolah di Sabah diingatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan penularan virus COVID-19 di sekolah susulan peningkatan jumlah kes baharu di beberapa kawasan di negeri itu.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata ini termasuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan baik.

“Kita kena pastikan SOP sentiasa digunakan dengan baik kerana (sekiranya) kalau sekolah ditutup semula maka proses nak buka kembali sekolah itu agak rumit.

“Jika berlaku sebarang kes (positif) kita perlu berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan untuk melihat sama ada sekolah tersebut perlu ditutup atau tidak,” katanya berucap pada majlis ramah mesra di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kudat II di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keperluan penutupan sekolah akibat penularan COVID-19, Radzi berkata pihaknya pernah mengambil langkah itu di Kuching, Sarawak apabila lebih 200 sekolah ditutup.

“Kami pernah lakukan di Kuching, Sarawak apabila berlaku wave (gelombang), kami tutup 200 sekolah. Ini kaedah yang kami ambil, namun kita kena pertahankan sekolah yang dibuka supaya ia kekal dalam keadaan selamat,” katanya.

Sehingga semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 4,666 orang telah disaring dalam Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah dan jumlah keseluruhan kes positif bagi kluster itu ialah 403 kes.

Selain kluster Benteng Lahad Datu, negeri Sabah turut mempunyai satu lagi kluster iaitu kluster Laut.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang