Siakap Keli
Gambar: Bernama

‘Haochi”, Gambaran Keenakan Durian Raja Kunyit Yang Ditularkan Pelajar China

RAUB, 14 Sept —  ‘Haochi’ atau sedap, perkataan yang terpacul keluar dari mulut sekumpulan pelajar warga China di Malaysia sebaik sahaja merasai durian, raja buah pada program Durio Tour @Raub 2020 yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Rombongan dari Kuala Lumpur itu dihidangkan durian “Musang King”, spesies durian yang asalnya dikenali sebagai “Raja Kunyit”.

Tidak dinafikan, keenakan durian Musang King dari Raub, Pahang sememangnya diakui tiada tandingnya dalam kalangan peserta program yang terdiri daripada enam pelajar antarabangsa warga China di Malaysia, lima pengguna berpengaruh media sosial dan dua wakil Kedutaan Besar Republik Rakyat China, yang peluang untuk menikmati raja buah itu, semasa lawatan dua hari pada 8-9 Sept lepas.

Program Durio Tour @Raub 2020, dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Education Malaysia Beijing (EMB) yang melawat di sekitar Dataran Durian, Zamri Othman Agro Farm, Lembah Temir Resort dan PHG. Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, di daerah ini.

Menariknya, semasa lawatan itu, kebanyakan peserta warga China itu merakamkan video pengalaman indah merasai sendiri raja buah itu dan memuat naik rakaman berkenaan ke platform media sosial China antaranya Douyin, WeChat, Weibo dan Bilibili.

Seorang pelajar berkenaan, Hai Cheng Deniz, 25, yang mengikuti pengajian mengenai Asia Tenggara di Universiti Malaya, berkata beliau tidak sabar untuk menceritakan pengalamannya dapat merasai sendiri durian di Malaysia buat kali pertama, dengan keluarga dan rakannya di China.

Katanya, beliau juga akan mempengaruhi mereka untuk berkunjung ke Malaysia dan merasai sendiri keenakan sebenar raja buah itu.

“Di China, kami tidak mempunyai durian Musang King, kami mengimportnya dari Malaysia dan saya mengakui bahawa rasa durian beku berbanding durian segar amatlah berbeza sama sekali.”

“Isinya yang kuning keemasan, bau yang kuat dan rasa kemanisan buah segar durian Musang King pastinya eksotik. Saya diberitahu bahawa untuk mengetahui sama ada durian Musang King itu elok atau tidak, ia dapat dikesan daripada baunya,” katanya kepada Bernama.

Bagi seorang lagi pelajar, Yujiali, 23, rasa buah durian ibarat sebagai “keju susu lembut dan enak”.

“Lawatan ini memberi saya pengalaman yang indah dan saya memperoleh banyak maklumat mengenai durian. Di China, saya hanya melihat produk daripada durian seperti gula-gula dan ais krim. Label produk tertulis ia diperbuat daripada durian dan bukan durian Musang King.

“Semestinya, durian Musang King mempunyai standard tersendiri, ia mahal, tetapi setelah anda merasainya, ia berbaloi dengan harganya,” tambahnya.

Durian Musang King, yang mulanya dikenali sebagai Raja Kunyit, berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Buah ini berbentuk bujur dan kulitnya berwarna hijau muda. Buahnya mempunyai berat antara dua hingga tiga kilogram sebiji.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pemasaran dan Eksport Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Khalid Ibrahim berkata, video yang dimuat naik pelajar berkenaan ketika mengikuti jelajah berkenaan membantu dalam mempromosikan durian Malaysia.

“Pelajar berkenaan mempunyai ratusan ribu pengikut dan saya percaya video yang dirakam dan dimuat naik akan ditularkan. Pencinta durian pasti akan menyukainya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right