Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kementerian Wilayah Persekutuan Sedia Kerjasama Dengan Kementerian Lain Tangani Banjir Kilat

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Kementerian Wilayah Persekutuan bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian lain dan agensi kerajaan termasuk Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar bagi menangani kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

“Sekali banjir maka macam-macam publisiti keluar, macam masalah dah selesai, tapi kemudiannya keadaan balik kepada masalah lama.. kita kena tengok lebih mendalam daripada itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini hari ini.

Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar di bawah penyeliaan Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri merupakan unit baharu yang akan dilancarkan esok.

Mengulas laporan awal kejadian banjir kilat di Lembah Klang Khamis lepas yang antara lain mengatakan bahawa salah satu punca banjir adalah keadaan longkang di sekitar Kuala Lumpur yang dipenuhi mendapan, Annuar berkata perkara itu adalah fakta yang dilihat dan dinilai oleh semua pihak.

Sehubungan itu katanya tahap kecekapan dan pengawasan di tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur akan ditingkatkan bagi mengelak kejadian saliran tersumbat akibat mendapan.

“Itu (longkang mendap) adalah satu fakta yang semua orang pun boleh nampak. Penguatkuasaan.. bila ada tapak pembinaan, DBKL memang tegas, (namun) tiada pihak yang boleh mengawal semua perbuatan manusia baik buang sampah, longkang tersumbat dan sebagainya.

“Jadi kita akan tingkatkan lagi kecekapan kita. Kita faham Kuala Lumpur sekarang terlalu banyak kerja-kerja pembinaan,” katanya.

Sementara itu Annuar berkata, ada juga pandangan mengatakan punca banjir itu berkaitan dengan ‘run-off water’ yang cepat dan meningkat berikutan kawasan pembangunan terlalu banyak.

“Saya baru minta untuk dapatkan taklimat operasi Smart Tunnel, saya nak tahu betul-betul adakah sewaktu hujan hari itu Smart Tunnel berfungsi seperti dirancang, saya mahu dapat satu penjelasan lebih lanjut.

“Saya juga ada dapat nota daripada Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur  mencadangkan antara lain menambah kolam takungan ‘water retention pond’ atau flood retention pond’, yang itu satu perkara perlu kita susuli kalau itu boleh mengurangkannya,”katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right