Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Pukul Dan Tetak Ibu Kandung Ditahan

BUTTERWORTH, 14 Sept (Bernama) — Seorang lelaki tergamak memukul dan menetak ibu kandungnya dengan pisau pemotong daging, sehingga wanita warga emas cedera di kepala serta lengan kanan dalam kejadian di rumah mereka di Flat Rumah Hijau, Mak Mandin di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, mangsa berumur 67 tahun sedang mengemas rumah sebelum melihat lampu di bilik tidur anak lelakinya berusia 42 tahun menyala dan meminta dia supaya menutup lampu berkenaan.

“Lelaki itu tiba-tiba berang dan terus bangun daripada katil di dalam bilik, sebelum ke dapur serta mengambil pisau pemotong daging lalu bertindak memukul dan melibas pisau, ke arah mangsa,” katanya di sini hari ini.

Katanya suspek kemudiannya membuka pintu dan menyuruh ibunya keluar dari rumah mereka, sebelum mangsa pergi ke rumah jirannya untuk berlindung, sementara menunggu polis dan ambulan tiba.

Menurutnya wanita itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) menaiki ambulan dan doktor yang merawat memaklumkan warga emas tersebut mengalami luka sepanjang 10 sentimeter (cm) di kepala dan 8 cm di lengan.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu positif dadah dan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Menurutnya, lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut, serta kes disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara selama hingga tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.