JASIN, 14 Sept (Bernama) — Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut dipercayai selepas terkena sabit pemotong di bahagian dada ketika melakukan kerja mengait di sebuah ladang sawit di Asahan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Mispani Hamdan berkata lelaki yang dikenali sebagai Misnal, 32, itu ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh rakannya pada kira-kira pukul 11.20 pagi.
“Arwah dipercayai cuba mengelak tandan buah kelapa sawit yang hampir menghempapnya, namun sabit berkenaan terkena bahagian dada kiri dan mungkin terkena jantungnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
— BERNAMA