Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 Dibentang Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Sebagai langkah meningkatkan kadar denda maksimum bagi kes pencemaran air di samping memastikan pendekatan itu bersifat pencegahan, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) akan dibentang untuk dipinda di Dewan Negara pada tahun depan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata jumlah denda maksimum dan minimum masih dimuktamadkan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pemegang taruh dan pakar-pakar alam sekitar.

“Di bawah AKAS 1974, bagi kesalahan berkaitan pencemaran air, denda maksimum boleh dikenakan sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Masrizal berkata pembangunan premis yang beroperasi berhampiran sungai perlu diberi perhatian serius bagi mencegah berlakunya pencemaran yang boleh menyebabkan terhentinya bekalan air bersih kepada rakyat.

Justeru, katanya, daripada aspek penguatkuasaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus dipertingkatkan dengan memeriksa punca pencemar termasuk kilang, loji kumbahan, bengkel dan lain-lain terutamanya yang terletak di hulu loji rawatan air.

“Operasi secara besar-besaran dengan kerjasama daripada pelbagai agensi penguat kuasa mengikut bidang kuasa masing-masing akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan lagi keberkesanan pemeriksaan punca pencemar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right