Siakap Keli

77 Pendatang Asing Termasuk Tekong, Kru Bot Ditahan Cuba Menyusup Masuk

SHAH ALAM, 15 Sept – Seramai 77 pendatang asing warga Indonesia termasuk tekong dan kru tongkang ditahan dalam Op Benteng ketika cuba menyusup masuk ke negara ini berhampiran Pulau Ketam dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata tongkang yang membawa pendatang asing berkenaan dikesan sepasukan anggota yang sedang meronda di kawasan perairan Pulau Ketam kira-kira 7.10 malam.

“Ketika pihak berkuasa sedang memeriksa tongkang yang membawa 77 pendatang asing termasuk seorang tekong dan tiga kru itu, tiga daripada mereka cuba melompat keluar dari bot berkenaan namun berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan lanjut ke atas pendatang asing yang ditahan itu mendapati, 53 adalah lelaki dan 18 wanita berumur 17 hingga 58 tahun selain dua kanak-kanak berumur satu dan tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Shamsul Amar lagi, siasatan awal pihaknya mendapati tongkang berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke sekitar perairan Klang.

“Pendatang asing termasuk anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan kini sedang menjalani ujian saringan COVID-19 di Pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang