Siakap Keli
Foto: Video Dari Facebook

Empat Kenderaan Rosak Dirempuh Penjenayah

CHUKAI, 15 Sept – Dua individu tekad merempuh empat kenderaan awam bagi mengelak dikejar polis dalam kejadian di Kerteh, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, seorang lelaki dan wanita bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta Honda Jazz manakala seorang lagi rakan lelaki mereka berjaya ditahan di tepi jalan berdekatan Kampung Batu Putih.

“Kami terima maklumat daripada orang awam berkenaan aktiviti pengedaran dadah di tepi jalan berdekatan Kampung Batu Putih, ketika serbuan dilakukan suspek bertindak memandu secara berbahaya apabila dikejar tiga unit kereta peronda (MPV).

“Adegan mengejar suspek sejauh lapan kilometer berlaku kira-kira 15 hingga 25 minit sehingga kenderaan dinaiki suspek melanggar sebuah kenderaan awam yang sedang keluar dari tempat letak kereta sebelum merempuh tiga lagi kenderaan lain yang berada berdekatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, ekoran rempuhan terbabit kenderaan suspek bagaikan terkepung dan kedua-dua mereka tidak sempat melarikan diri sebelum ditahan polis.

Hanyan berkata kesemua suspek yang ditahan berumur 25 hingga 32 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut pihak polis turut menjumpai lima bungkusan yang mengandungi 1,000 biji pil kuda dengan nilai pasaran berjumlah RM20,000 di dalam kereta terbabit.

“Dipercayai kesemua suspek ini datang dari Kuantan, Pahang dan cuba memenuhi kekosongan stok bekalan dadah di daerah ini selepas lebih 100 tokan yang bergiat aktif di daerah Kemaman telah ditahan pihak polis sejak Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakaman berkaitan insiden itu sempat dirakam orang awam dan ia mula tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp lewat petang tadi.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang