Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lelaki Maut Ditetak Selepas Dipercayai Tunjuk Kemaluan

ALOR GAJAH, 15 Sept (Bernama) — Seorang lelaki maut ditetak selepas dipercayai bertindak menunjukkan kemaluannya kepada isteri orang dalam satu kejadian pergaduhan di Taman Pengkalan Indah, di sini, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata sebelum kejadian, mangsa pemandu lori yang berusia 25 tahun dan sudah berkahwin itu bersama rakannya telah menimbulkan kekacauan dan membuat bising di hadapan sebuah rumah, kira-kira 9 malam.

“Hasil siasatan, kedua-duanya beredar sebelum muncul kembali selang beberapa minit sehingga berlaku pertengkaran mulut dengan dua penghuni lelaki di rumah itu. Mangsa dan rakannya bertindak membaling topi keledar serta parang di dalam pekarangan rumah itu.

“Mangsa kemudian bertindak membuka seluar dan menunjuk kemaluannya kepada isteri salah seorang penghuni rumah yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata perbuatan itu menyebabkan pergaduhan berlarutan sehingga melibatkan penggunaan parang dan berlaku kejar mengejar sejauh kira-kira 80 meter, antara lelaki berkenaan sebelum mangsa ditetak beberapa kali di bahagian badan, manakala rakannya sempat melarikan diri.

Mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat kira-kira 11 malam.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan sembilan lelaki berumur antara 20 dan 50 tahun di sekitar Alor Gajah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right