Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

Pemilik Pas Jangka Panjang Boleh Keluar Semula Tanpa Buat Permohonan

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) — Rakyat Malaysia yang memiliki pas jangka panjang luar negara yang pulang ke Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan keluar semula tanpa mendapat permohonan daripada Jabatan Imigresen (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam sidang media di sini hari ini berkata perkara itu berkuat kuasa serta-merta membabitkan warga Malaysia yang memiliki pas kerja atau pas penduduk tetap dari negara luar.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan susulan laporan sekumpulan rakyat Malaysia yang terpaksa berhadapan ketidaktentuan apabila ada antara mereka tidak dibenarkan menaiki penerbangan atas alasan PKP.

“Mungkin ada salah faham…semalam saya telah mengeluarkan arahan baharu iaitu rakyat Malaysia yang memiliki pas jangka panjang di luar negara sama ada pas kerja atau pas penduduk tetap walaupun pulang ke Malaysia ketika tempoh PKP mereka boleh keluar semula tanpa mengemukakan permohonan daripada JIM,” katanya.

Media melaporkan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu selepas terdapat pelajar dan individu yang perlu kembali ke universiti dan tempat kerja di luar negara tidak dibenarkan menaiki penerbangan, dipercayai berikutan salah faham membabitkan prosedur yang dikeluarkan JIM pada Khamis.

Pada Khamis, JIM mengeluarkan prosedur kepada rakyat Malaysia yang ingin keluar negara dan masuk semula ke negara ini, yang antara lain menyatakan lima kategori individu yang tidak perlu memohon kelulusan daripada jabatan itu, perlu menunjukkan dokumen sokongan berkaitan kepada pegawai imigresen ketika hendak keluar dari negara ini.

Mereka terdiri daripada diplomat dan tanggungan yang ingin berkhidmat di luar negara; pelajar, sama ada menyambung pelajaran atau baru mendapat tawaran menyambung pelajaran di luar negara; pelajar yang ingin menduduki peperiksaan; pemegang pas jangka panjang di luar negara (pemastautin tetap, pas residen, pas kerja dan lain-lain) serta bekerja dengan syarikat petroleum dan perkapalan dan perlu melakukan ‘sign-on’ atas kapal di luar negara.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.