Siakap Keli
Gambar: Bernama

Tahanan Wanita Lari Selepas Didakwa Di Mahkamah Raub

KUANTAN, 15 Sept (Bernama) — Seorang tahanan wanita melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangannya masih bergari dengan membonceng motosikal ditunggang seorang lelaki dipercayai teman lelakinya di pekarangan Mahkamah Raub, kira-kira 165 kilometer dari sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata kejadian berlaku pada 4.30 petang semasa suspek Saidatina Aida Sahabudin, 23, hendak dibawa ke lokap Ibu Pejabat Daerah Raub dengan trak polis selepas tamat prosiding pendakwaan terhadapnya.

Saidatina Aida yang beralamat di Kampung Ulu Lepar Dong, Raub sebelum itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkaitan dadah dan kes ditetapkan sebutan semula pada 29 Sept ini. Suspek juga mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Seorang lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha LC bernombor pendaftaran DBQ 8005 dikatakan berhenti di tepi suspek wanita dan terus memecut sebaik sahaja wanita itu yang tangannya bergari melompat ke atas motosikal.

“Anggota polis bertugas telah mengejar dan memegang motosikal tersebut tetapi terlepas dan terjatuh sehingga cedera di tapak tangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kama Azural berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki itu dikenal pasti sebagai Mohamad Rejab Ali, 22, dari Kampung Pulau Kabong Budu, Benta, Lipis.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek kini giat dijalankan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tidak bersubahat dan menghubungi balai polis berhampiran.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right